NEW YORK: Seorang lelaki cedera selepas ditembak ejen imigresen Amerika Syarikat (ICE) ketika berada di dalam kereta bersama seorang kanak-kanak berusia lima tahun di kejiranan Marble Hill, New York, pada Khamis.
Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, berkata laporan awal menunjukkan ejen ICE mengepung kenderaan lelaki itu sebelum beberapa das tembakan dilepaskan.
Beliau berkata kanak-kanak yang berada dalam kereta tersebut dipercayai tidak mengalami kecederaan.
Mamdani menyifatkan insiden itu sebagai serius dan tidak boleh diterima serta menggesa Presiden Donald Trump menghentikan operasi penguatkuasaan ICE di bandar berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) memaklumkan ejen ICE sedang menjalankan operasi bagi menahan seorang lelaki warga Republik Dominika yang mempunyai rekod sabitan jenayah.
Menurut DHS, seorang pegawai ICE melepaskan tembakan semasa insiden itu, menyebabkan suspek cedera sebelum diberikan bantuan kecemasan dan dibawa ke hospital.
Saksi berkata beberapa kenderaan ICE berada di lokasi ketika kejadian, manakala polis New York tiba tidak lama kemudian bagi mengawal keadaan.
Insiden itu menambah perhatian terhadap operasi penguatkuasaan imigresen di bawah pentadbiran Trump, yang dikritik oleh aktivis dan kumpulan hak asasi kerana didakwa mencetuskan lebih banyak pertembungan ganas antara ejen persekutuan dan orang awam.