Terbaharu, seorang lelaki dari Arizona, Amerika Syarikat yang ditembak penjenayah sempat mengambil gambar selfie keadaan dirinya yang berlumuran darah, lapor portal berita negara itu.
Ketika kejadian, Martinez, 20, yang bekerja di restoran Bistro 13, di East Valley Institute of Technology pada Rabu telah dihampiri seorang lelaki yang meminta dia menyerahkan kunci kereta milik jurulatih tukang masaknya.
Apabila Martinez enggan menuruti kehendaknya, suspek melepaskan tembakan ke arahnya dan membawa lari kereta tersebut.
Namun ketika menahan kesakitan, Martinez sempat pula mengambil gambar selfie keadaan dirinya dan dimuat naik ke aplikasi sosial Snapchat.
Gambar selfie Isaac Martinez dalam keadaan berlumuran darah dan ketika menerima rawatan di hospital. - Foto sumber Snapchat Isaac Martinez
Dia yang kemudiannya dihantar ke hospital telah sekali lagi mengambil gambar keadaan dirinya yang terbaring di katil wad, dengan kesan tembakan yang jelas di bahagian bahunya.Selepas menerima rawatan, Martinez dibenarkan pulang.
Sebagai seorang yang aktif di laman sosial, dia telah mengemas kini status untuk dilihat oleh kira-kira 1,200 kenalannya di Facebook.
Katanya: “Saya sudah berada di rumah dan dalam keadaan baik! Saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan boleh sembuh.
“Sebutir peluru telah menembusi bahu hingga ke bahagian belakang saya. Jika tinggi atau rendah sikit, ia mungkin terkena arteri atau mematahkan tulang bahu. Ini satu keajaiban!”
Mengimbau kejadian, suspek mendekatinya dan mendesak agar diberikan kunci kereta. Setelah permintaannya ditolak, suspek mengeluarkan pistol dan diacukan kepadanya.
“Saya berundur ke belakang dan menjerit supaya orang lain yang berada di situ agar tunduk dan berlindung.
“Apa yang berlaku selepas itu adalah saya rebah ke tanah. Saya bingkas bangun dan terus berlari.
"Pada masa sama, saya melihat lelaki yang menyerang saya sudah membawa lari kereta tersebut dan memecut meninggalkan tempat kejadian,” ujarnya yang kemudian berjalan ke pos polis berdekatan.
Suspek, Ryan Elliot Giroux yang berusia sekitar 40-an, baru sahaja dibebaskan dari penjara Arizona dan pernah terlibat dalam pelbagai kes jenayah melibatkan kes pecah rumah dan pemilikan ganja.