Ringkasan AI
- Lapan jajahan di Kelantan dijangka berisiko banjir hingga Jumaat susulan ramalan hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
- JPS mengenal pasti kawasan berisiko melibatkan lembangan sungai utama seperti Sungai Golok, Sungai Kelantan, Sungai Semerak, Sungai Kemasin dan Sungai Gali.
- Penduduk di kawasan terjejas diminta berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mendapatkan maklumat terkini melalui portal serta media sosial rasmi.
KOTA BHARU: Lapan jajahan di Kelantan dijangka berisiko banjir bermula hari ini hingga Jumaat susulan ramalan hujan berterusan di negeri itu.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ramalan awal itu dikeluarkan susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) oleh Jabatan Meteorologi pada 2 petang tadi.
Kenyataan itu memaklumkan kawasan yang berpotensi terjejas ialah Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu dan Machang.
Menurut JPS, kawasan berisiko melibatkan beberapa lembangan sungai utama khususnya titik panas banjir, kawasan rendah dan lokasi yang dikenal pasti berisiko dilanda banjir.
Di jajahan Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat, kawasan berisiko melibatkan lembangan Sungai Golok manakala Kota Bharu dan Machang membabitkan lembangan Sungai Kelantan.
Di Pasir Puteh, kawasan berisiko melibatkan lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Semerak manakala di Bachok membabitkan lembangan Sungai Semerak, Sungai Kemasin serta Sungai Gali.
JPS memaklumkan pihaknya akan meneruskan pemantauan dan mengeluarkan hebahan amaran banjir sekiranya hujan berterusan di lembangan sungai berkenaan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan dijangka terjejas diminta agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap arahan pihak berkuasa serta agensi pengurusan bencana.
JPS turut mengingatkan bahawa banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh dijangkakan, dengan maklumat semasa boleh diperoleh menerusi portal publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook PublicInfoBanjir.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Kelantan dan seluruh Terengganu hingga Jumaat ini.
-- BERNAMA