Skip to main content

Dunia

Lelaki maut ditembak ejen imigresen AS ketika operasi penguatkuasaan di Maine

A counterprotester wearing a MAGA hat stands holding a speaker as people protest against U.S. Immigration and Customs Enforcement (ICE) at Mechanics Park, after a shooting involving ICE, in Biddeford, Maine, U.S., July 13, 2026. REUTERS/CJ Gunther
Seorang penyokong balas yang memakai topi MAGA (Make America Great Again) memegang pembesar suara ketika orang ramai berhimpun membantah tindakan ICE di Mechanics Park, susulan insiden tembakan yang melibatkan pegawai ICE di Biddeford, Maine. - Foto REUTERS
Advertisement

MAINE: Seorang lelaki maut ditembak oleh ejen imigresen persekutuan Amerika Syarikat (AS) semasa satu operasi penguatkuasaan imigresen di negeri Maine selepas didakwa cuba melarikan diri menggunakan kenderaan yang dipandu ke arah pegawai terbabit.

Menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara Maine, insiden itu berlaku di bandar Biddeford, kira-kira 30 kilometer di selatan Portland, pada pagi Isnin.

Tembakan tersebut melibatkan seorang pegawai daripada unit Enforcement and Removal Operations (ERO) di bawah Agensi Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam AS (ICE).

“Maklumat awal menunjukkan seorang pegawai ERO sedang menjalankan operasi penguatkuasaan berkaitan perintah pengusiran terakhir apabila individu terbabit cuba melarikan diri menggunakan kenderaan ke arah pegawai berkenaan sebelum ditembak mati,” menurut kenyataan itu.

Pegawai yang terlibat telah diletakkan bercuti sementara siasatan dijalankan.

Identiti mangsa belum didedahkan secara rasmi sementara pihak berkuasa berusaha mengesahkan identitinya dan memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga terdekat.

Bagaimanapun, Gabungan Hak Imigran Maine mendakwa mangsa ialah seorang lelaki warga Colombia berusia 26 tahun yang memiliki kebenaran bekerja secara sah di Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan, organisasi itu menyifatkan mangsa sebagai anggota komuniti yang dihormati.

“Beliau adalah sebahagian daripada komuniti kami, seorang jiran dan insan yang hidupnya terhenti secara tragis,” menurut kenyataan tersebut.

Siasatan terhadap insiden itu kini diambil alih oleh Pejabat Ketua Pemeriksa Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), yang bertanggungjawab mengawasi operasi ICE.

Senator Republikan Maine, Susan Collins, menggesa siasatan penuh dan bebas dijalankan bagi menentukan apa yang sebenarnya berlaku.

Sementara itu, Senator Angus King berkata beliau pada mulanya dimaklumkan bahawa lelaki yang ditembak merupakan sasaran waran tangkapan imigresen.

Namun beberapa jam kemudian, beliau dimaklumkan bahawa mangsa sebenarnya bukan individu yang menjadi sasaran waran tersebut.

Menurut King, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Markwayne Mullin, menjelaskan bahawa mangsa ditembak selepas didakwa menggunakan kenderaannya sebagai senjata dengan memandu ke arah pegawai penguat kuasa.

Beliau turut mendedahkan bahawa pegawai yang terlibat tidak memakai kamera badan, sekali gus menjadikan siasatan lebih penting untuk menentukan sama ada penggunaan kekerasan maut itu benar-benar diperlukan.

“Kami akan memastikan siasatan ini dijalankan secara telus dan menyeluruh,” katanya.

Kejadian itu mencetuskan bantahan di Biddeford apabila sekumpulan penduduk berhimpun bagi menuntut penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa.

Beberapa penunjuk perasaan turut berkumpul di luar pejabat Senator Collins sebagai bantahan terhadap sokongannya terhadap pembiayaan operasi ICE.

Seorang saksi, Lucas Scott, memberitahu media tempatan bahawa beliau melihat beberapa pegawai memakai jaket ICE mengelilingi sebuah kereta sedan berwarna putih sebelum terdengar sekurang-kurangnya empat das tembakan.

Seorang lagi saksi, Mary Hayes, berkata beliau menyaksikan isteri mangsa rebah sambil menangis apabila melihat mayat suaminya di lokasi kejadian.

“Saya melihat seorang isteri melutut di sisi mayat suaminya dan seorang anak kecil menangis dengan beg galas merah jambu kerana dia tidak akan dapat berjumpa bapanya lagi,” katanya.

Insiden itu mengundang perhatian baharu terhadap taktik penguatkuasaan imigresen AS, khususnya selepas beberapa operasi besar-besaran dijalankan di beberapa negeri sejak awal tahun ini.

Beberapa organisasi hak sivil telah memfailkan saman terhadap pentadbiran AS, mendakwa terdapat penggunaan taktik agresif oleh pegawai imigresen semasa operasi penguatkuasaan yang menyasarkan pendatang di seluruh negara.

Kes tersebut masih dalam siasatan dan pihak berkuasa belum mengeluarkan laporan lengkap mengenai kejadian berkenaan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement