BANGKOK: Seorang lelaki berusia 46 tahun yang disabitkan kesalahan mengedar satu kilogram kanabis menjalani hukuman gantung di Singapura pada Rabu, tindakan yang dikecam oleh peguam bela hak asasi manusia.

Amnesty International mengesahkan warga Singapura Tangaraju Suppiah, yang disabitkan bersalah bersubahat mengedar 1,017 gram ganja, menjalani hukuman itu di penjara Changi, lapor agensi berita (dpa) Jerman.

"Banyak kepincangan dalam kes itu... kekurangan pendedahan bukti penting oleh pihak pendakwaan selain pergantungan berterusan kepada hukuman mati mandatori menyebabkan hukuman gantung ini dilihat membelakangkan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa," menurut timbalan pengarah serantau Amnesty International, Ming Yu Hah dalam satu kenyataan.

Hukuman dijalankan walaupun rayuan dibuat oleh Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) dan delegasi Kesatuan Eropah ke Singapura.

"Kami bimbang dengan proses yang terlibat dan jaminan bagi perbicaraan yang adil," kata jurucakap OHCHR Ravina Shamdasani dalam satu kenyataan.

"Kami menggesa kerajaan Singapura supaya menerima pakai moratorium rasmi terhadap hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah selain memastikan hak untuk perbicaraan yang adil untuk semua defendan selaras dengan kewajipan antarabangsanya," kata Shamdasani.

Singapura melaksanakan undang-undang dadah yang ketat yang boleh membawa hukuman mati.

-- BERNAMA