DUNIA
Letupan gegarkan ibu negara Qatar, Israel sasar pemimpin Hamas di Doha

Kesan letupan berkenaan menyebabkan kepulan asap hitam yang jelas di tengah bandar raya berpopulasi sekitar 2 juta orang itu. - Media sosial / X @ME_Observer_
DOHA: Beberapa letupan kuat menggegarkan ibu negara Qatar, tidak lama selepas Israel mendedahkan kepada The Associated Press bahawa pihaknya menyasarkan pemimpin Hamas di Doha.
Meskipun pada awalnya pendedahan Israel tidak menyatakan secara khusus tentang lokasi sasaran serangan udara tersebut, namun perkembangan semasa menghubungkan kemungkinan situasi itu.
Kaitan pengumuman Israel dengan insiden letupan di Qatar turut dilaporkan oleh Al Jazeera, yang menyatakan bahawa kesan beberapa letupan berkenaan menyebabkan kepulan asap hitam yang jelas di tengah bandar raya berpopulasi sekitar 2 juta orang itu.
Kenyataan rasmi tentera Israel menyusul kemudian apabila insiden di Doha itu telah disahkan oleh mereka.Al Jazeera yang memetik sumber Hamas melaporkan, serangan itu menyasarkan pasukan perunding Hamas yang bertemu untuk membincangkan tentang tawaran gencatan senjata terbaharu oleh Amerika Syarikat.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Qatar, Esmaeil Baqaei, berkata, serangan tersebut membuktikan pelanggaran jelas semua undang-undang antarabangsa dan sebuah ancaman serius ke atas keselamatan rakyat Qatar dan penduduk di negara itu.
Para pemimpin Hamas yang hidup dalam buangan telah lama menjadikan Qatar sebagai pangkalan mereka.
Qatar juga selama bertahun-tahun telah bertindak sebagai pengantara rundingan antara Hamas dan Israel, malah sejak sebelum serangan memuncak di Semenanjung Gaza.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami