Skip to main content

Dunia

Letupan kuat gegar lapangan terbang Riyadh, penerbangan dibatalkan

Asap dan api menjulang dari Lapangan Terbang King Khalid di Riyadh, Arab Saudi, pada 8 Oktober 2026, selepas kumpulan Houthi dari Yaman yang disokong Iran mendakwa mereka menyerang lapangan terbang tersebut; imej ini diperoleh daripada rakaman video media sosial. - Gambar Media Sosial/melalui Reuters
Asap dan api menjulang dari Lapangan Terbang King Khalid di Riyadh, Arab Saudi, pada 8 Oktober 2026, selepas kumpulan Houthi dari Yaman yang disokong Iran mendakwa mereka menyerang lapangan terbang tersebut; imej ini diperoleh daripada rakaman video media sosial. - Gambar Media Sosial/melalui Reuters

Advertisement

RIYADH: Lebih 12 ambulans dilihat bergegas ke lapangan terbang antarabangsa di sini, manakala sebahagian pelancong dipindahkan dari fasiliti berkenaan selepas satu letupan kuat kedengaran pada Sabtu.

Insiden itu berlaku ketika serangan peluru berpandu oleh kumpulan Houthi semakin meningkat terhadap Arab Saudi.

Lapangan terbang itu telah diserang sebanyak dua kali pada minggu ini, mengorbankan empat nyawa, serta merosakkan sebuah pesawat.

Pejabat media kerajaan Arab Saudi dan pihak berkuasa penerbangan awam negara itu bagaimanapun belum membuat sebarang kenyataan.

Laman web flightradar24 menunjukkan semua penerbangan ke Riyadh sama ada dilencongkan atau dibatalkan, dengan hanya sebuah helikopter kelihatan berlegar-legar di ruang udara lapangan terbang terbabit pada satu ketika.

Pihak pengurusan lapangan terbang menggesa para penumpang untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing secara langsung dan menyemak status penerbangan sebelum menuju ke terminal.

Ekoran insiden itu, syarikat penerbangan Etihad Airways dan Qatar Airways membatalkan beberapa penerbangan antara hab masing-masing dan Riyadh, dengan beberapa pembatalan dilaporkan berlarutan sehingga Isnin.

Serangan oleh Houthi pada Khamis dan awal minggu ini telah menyebabkan beberapa syarikat penerbangan menggantung atau membatalkan perkhidmatan ke ibu negara Arab Saudi itu, menjelang penganjuran persidangan tenaga dan pelaburan utama di Riyadh tidak lama lagi.

Bagaimanapun, pihak penganjur persidangan pada Sabtu memaklumkan bahawa program tersebut akan diteruskan seperti yang dirancang dan memberi jaminan keselamatan kepada semua peserta yang hadir.

Sebelum ini, kumpulan Houthi mengeluarkan amaran agar pesawat komersial mengelak daripada menggunakan ruang udara Arab Saudi, dan mengisytiharkannya sebagai zon operasi ketenteraan selepas kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi melancarkan serangan terhadap kumpulan berkenaan awal bulan ini.
 

Must Watch Video

Advertisement