Lima lelaki dipercayai anggota militan maut dalam satu pertempuran dengan pihak keselamatan di Cho-Airong, Narathiwat pada Ahad.

Komander Rejimen Renjer Ke-46 Kol Songdej Suknui berkata pertempuran itu berlaku pada kira-kira 10.30 pagi Ahad (waktu tempatan) selepas pasukan renjer menjejaki sekumpulan lelaki bersenjata di Bukit Tawey berdekatan Kampung Air Setia sejak Sabtu malam.

"Berlaku kejadian berbalas tembakan antara kumpulan lelaki itu dan pasukan renjer yang berlarutan hampir 20 minit.

"Selepas itu, pasukan renjer menemukan lima mayat dan enam laras senjata api jenis HK 33 dan M16A1 di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata sekurang-kurang dua individu telah meloloskan diri dan pihak berkuasa sedang giat menjejaki mereka.

-- BERNAMA