GAZA: Lima konvoi bantuan kemanusiaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang melibatkan 75 trak membawa 663 tan bekalan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza minggu ini menerusi Operasi Chivalrous Knight 3, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong rakyat Palestin dan memenuhi keperluan asas mereka di tengah-tengah krisis kemanusiaan di wilayah itu, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Konvoi berkenaan membawa bekalan makanan dan barangan tempat perlindungan sementara, sekali gus membantu memenuhi keperluan asas serta memperkukuh tindak balas kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
Pasukan Operasi Chivalrous Knight 3 terus menyediakan konvoi bantuan menerusi Pusat Logistik Bantuan Kemanusiaan UAE di Al Arish, di bawah sistem bersepadu yang merangkumi penerimaan, pengasingan, penyediaan dan penghantaran bantuan.
Langkah itu menyokong aliran bantuan kemanusiaan yang berterusan ke Semenanjung Gaza serta memastikan ia sampai kepada mereka yang memerlukan.
Konvoi itu merupakan sebahagian daripada usaha kemanusiaan berterusan UAE di bawah Operasi Chivalrous Knight 3, yang secara berkala menghantar bantuan bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin serta memenuhi keperluan kemanusiaan mereka yang mendesak.
-- BERNAMA-WAM