Skip to main content

Dunia

Lima maut dalam nahas pesawat kargo Amazon di Miami

A view of an Amazon Prime Air cargo plane that airport officials said overran a runway at Miami International Airport, in Miami, Florida, U.S., September 6, 2026. REUTERS/Marco Bello
Sebuah pesawat kargo Amazon Prime Air kelihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Florida, selepas pihak lapangan terbang memaklumkan pesawat itu terbabas dari landasan. - Foto REUTERS
Advertisement

MIAMI: Sekurang-kurangnya lima orang dilaporkan maut selepas sebuah pesawat kargo Amazon Prime Air terbabas dari landasan ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami sebelum melanggar beberapa kenderaan dan terbakar pada Ahad.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), pesawat Boeing 767-300 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan kargo 21 Air itu sedang dalam penerbangan dari San Juan, Puerto Rico, sebelum terbabas dari landasan sekitar jam 2 petang waktu tempatan.

Pasukan bomba dan penyelamat Miami-Dade memaklumkan pesawat berkenaan melanggar beberapa kenderaan selepas keluar dari kawasan landasan sebelum terbakar, menyebabkan asap tebal kelihatan dari beberapa kilometer jauhnya.

Laporan awal menyebut terdapat beberapa mangsa yang cedera dalam kejadian itu, manakala laporan terkini yang dipetik daripada saluran komunikasi kecemasan dan pihak berkuasa tempatan menyatakan jumlah korban kini meningkat kepada sekurang-kurangnya lima orang.

Berikutan insiden itu, semua operasi penerbangan di lapangan terbang berkenaan digantung sementara bagi membolehkan pasukan kecemasan menjalankan operasi menyelamat dan siasatan di lokasi kejadian.

Amazon mengesahkan pesawat yang terbabit beroperasi bagi pihak Amazon Air dan berkata syarikat itu sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca kejadian.

Sementara itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan FAA telah membuka siasatan bagi menentukan punca nahas tersebut.

Kejadian itu menyebabkan gangguan besar di salah satu lapangan terbang paling sibuk di Amerika Syarikat, dengan penumpang dinasihatkan menjangkakan kelewatan dan pembatalan penerbangan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement