VIENNA: Sekurang-kurangnya lima individu dilaporkan maut dalam siri kejadian runtuhan salji yang melanda pergunungan Alps di Austria selepas salji tebal turun di wilayah itu pada Jumaat.
Jurucakap polis mengesahkan bahawa empat daripada mangsa merupakan pemain ski yang terperangkap dalam kejadian berasingan di wilayah Tyrol.
Advertisement
Tiga daripada mereka maut dalam runtuhan salji besar berhampiran pusat peranginan popular St Anton am Arlberg, manakala seorang lelaki warga Jerman terkorban di cerun Nauders berhampiran sempadan Switzerland-Itali.
Menurut laporan BBC, anak lelaki kepada mangsa di Nauders yang berusia 16 tahun berjaya diselamatkan namun mengalami kecederaan parah dan telah diterbangkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Selain itu, seorang lelaki berusia 53 tahun maut di bandar Linz selepas dihempap oleh jentera pembajak salji yang tergelincir di sebuah kawasan kediaman ketika kerja-kerja pembersihan salji dilakukan.
Pihak berkuasa Tyrol telah mengeluarkan amaran tahap tinggi dan menggesa orang awam supaya menjauhi kawasan cerun luar trek (off-piste) berikutan risiko runtuhan salji yang dijangka kekal berbahaya untuk tempoh beberapa hari akan datang.
Tragedi terbaharu ini menjadikan jumlah kematian akibat runtuhan salji di Austria meningkat kepada sekurang-kurangnya 21 orang bagi musim sejuk kali ini.
Berita ini menyusul laporan awal Astro AWANI berhubung kejadian dengan angka korban dikemas kini.