BANGKOK: Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Thailand mencadangkan agar sekatan pergerakan bersasar dikenakan di kawasan berisiko tinggi di Bangkok susulan peningkatan kes COVID-19 di bandar raya itu.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, DDC mengesyorkan penutupan bersasar di kawasan dengan jumlah kes COVID-19 yang tinggi.

Jelas beliau langkah itu sebaliknya boleh mencetuskan lagi penularan jangkitan yang lebih luas.

Katanya, sebagai contoh sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasakan di wilayah Yala, selatan Thailand menyaksikan penduduk tempatan menyusup ke wilayah berdekatan menyebabkan berlaku penularan jangkitan ke wilayah jiran.

"Penutupan penuh di sesebuah wilayah mungkin tidak diperlukan, selain dilihat sebagai bukan langkah yang sesuai untuk mengawal kewujudan kluster," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Jumaat.

Dr Apisamai berkata kurangnya kerjasama di bawah inisiatif 'gelembung dan tutup' terutama di kem pekerja pembinaan dan kilang menyebabkan jangkitan merebak ke ibu negara.

Inisiatif "gelembung dan tutup" berjaya mengurangkan jumlah kes dalam tempoh 28 hari di Samut Sakhon tetapi di Bangkok pelaksanaan langkah itu tidak berhasil.

"Ketika kem pekerja pembinaan ditutup, pekerja menyelinap keluar dan menyebabkan muncul lebih banyak kluster jangkitan dalam masyarakat," katanya.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Bangkok terus mencatat kes tertinggi dengan tambahan 1,142 kes. Sehingga kini, terdapat 107 kluster, katanya.

Thailand mengesan 644 kes baharu COVID-19 dan 44 kematian, menjadikan jumlah jangkitan dalam negara sebanyak 236,291 dan 1,819 kematian.

Daripada kes baharu, 3,613 adalah jangkitan tempatan dan 31 kes import termasuk 17 warga Thailand yang kembali secara haram dari Kemboja.

Korban terbaharu pula melibatkan 26 lelaki dan 18 wanita berusia antara 29 hingga 92 tahun, termasuk seorang warga Myanmar dan seorang warga Laos.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan semua kem pekerja binaan di Bangkok dan wilayah berdekatan ditutup selama sebulan mulai Isnin.

Selain itu, sekatan pergerakan turut akan dikuat kuasa di empat wilayah selatan - Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla, kata Prayuth.

Katanya, kerajaan mengenakan sekatan pergerakan bersasar di Bangkok dan wilayah selatan kerana kedua-dua kawasan itu kini dilanda gelombang baharu wabak.

"Kementerian Buruh akan menjaga kebajikan semua warga Thailand dan pekerja migran yang terjejas," katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya perincian mengenai langkah pencegahan baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Berikutan lonjakan kes COVID-19 di Bangkok, hospital menghadapi kekurangan katil dan menggesa sekatan pergerakan dikenakan selama tujuh hari.

Sejak 24 jam lalu, Bangkok kekal di tangga teratas dengan jumlah jangkitan tertinggi iaitu 1,142 kes.

-- BERNAMA