WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) meluluskan visa untuk delegasi Iran bagi menghadiri Minggu Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, lapor Anadolu Ajansi, memetik jurucakap jabatan pada Khamis.
“Selaras dengan kewajipan sebagai negara tuan rumah, delegasi teras dari rejim Iran akan dapat menghadiri Minggu Peringkat Tinggi UNGA,” menurut jurucakap itu dalam satu kenyataan menerusi e-mel.
"Delegasi itu akan berada di bawah sekatan perjalanan dan dikenakan larangan ke atas pembelian barangan mewah dan lain-lain mengikut polisi. Delegasi itu lebih kecil daripada tahun lepas," kata jurucakap itu yang enggan namanya disiarkan.
Antara wakil delegasi Iran termasuk Presiden Masoud Pezeshkian dan Menteri Luar Abbas Araghchi.
AS, sebagai negara tuan rumah ibu pejabat PBB, diwajibkan di bawah perjanjian untuk memudahkan visa bagi delegasi yang menghadiri mesyuarat PBB.
Minggu peringkat tinggi UNGA ke-81 dijadualkan bermula Jumaat hingga 28 Sept.
Langkah visa itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara Iran dan AS mengenai Selat Hormuz, walaupun memorandum ditandatangani pada Jun membayangkan perjanjian untuk membuka semula laluan air strategik itu dan sebagai permulaan bagi perjanjian damai.
AS dan Israel menyerang Iran pada akhir Februari justeru mendorong serangan balas Iran khususnya terhadap pangkalan AS di negara-negara Teluk.
-- BERNAMA-ANADOLU