Skip to main content

Malaysia

Tolak politik perkauman, perkukuh perpaduan dalam kepelbagaian

Malaysia perlu menangani diskriminasi kaum menerusi pendekatan bersepadu yang melibatkan institusi, perundangan, dasar serta inisiatif berasaskan komuniti. - Gambar hiasan/BERNAMA
Malaysia perlu menangani diskriminasi kaum menerusi pendekatan bersepadu yang melibatkan institusi, perundangan, dasar serta inisiatif berasaskan komuniti. - Gambar hiasan/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Pemimpin masyarakat dan pakar menggesa reformasi institusi serta penghentian politik berasaskan kaum demi memelihara perpaduan dalam kepelbagaian negara.
  • Forum Aspirasi Rakyat 2.0 anjuran PPK menghimpunkan NGO, profesional dan masyarakat membincangkan isu perpaduan nasional, keadilan sosial dan tadbir urus.
  • IKRAM menegaskan perpaduan sebenar memerlukan penglibatan bermakna merentasi kaum, agama dan budaya, bukan sekadar hidup bersama secara aman.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemimpin masyarakat dan pakar pelbagai bidang menggesa agar reformasi institusi dilaksanakan segera serta politik berasaskan kaum dihentikan bagi memelihara identiti negara yang berteraskan perpaduan dalam kepelbagaian.

Gesaan itu disuarakan pada Forum Aspirasi Rakyat 2.0 anjuran Persatuan Patriot Kebangsaan (PPK) pada Rabu, yang menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional dan masyarakat bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu mendesak berkaitan perpaduan nasional, keadilan sosial serta tadbir urus.

Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia Stanley Yong Yew Wei berkata golongan muda memikul tanggungjawab penting untuk memupuk pemikiran terbuka yang menghargai perpaduan dalam kepelbagaian, selain menyifatkannya sebagai prasyarat asas bagi membina Malaysia yang progresif.

Advertisement

Berucap pada sesi itu, Yong berkata Malaysia perlu menangani diskriminasi kaum menerusi pendekatan bersepadu yang melibatkan institusi, perundangan, dasar serta inisiatif berasaskan komuniti.

Turut berkongsi pandangan pada forum itu ialah Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia Badlishah Sham Baharin, Pensyarah Kanan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin serta Datuk M. Santhananaban daripada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM).

Advertisement

Penceramah lain ialah Pengasas dan Penyelaras Center for Orang Asli Concerns Dr Colin Nicholas, Profesor Seni Bina Universiti UCSI Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi serta pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.

Badlishah berkata perpaduan nasional perlu diperkukuh berlandaskan keadilan, sikap prihatin serta saling menghormati, di samping memberi amaran agar perbezaan kaum dan agama tidak dieksploitasi demi kepentingan politik jangka pendek.

Berdasarkan kajian Indeks Nasional Rahmah Malaysia (IMNR) 2025 oleh IKRAM yang melibatkan 3,030 responden di seluruh negara, beliau berkata hubungan etnik dan agama yang harmoni mencatatkan skor 8.04 daripada 10, manakala institusi keluarga yang kukuh merekodkan 8.51.

Bagaimanapun, beliau berkata dapatan itu tidak seharusnya membuatkan masyarakat berasa selesa kerana perpaduan sebenar bukan sekadar hidup bersama-sama dalam suasana aman, sebaliknya perlu disokong oleh penglibatan dan kerjasama bermakna merentasi kaum, agama dan budaya.

“Di IKRAM, kami percaya perpaduan sebenar bukan sekadar hidup bersama-sama dalam suasana aman, sebaliknya menuntut persefahaman, interaksi yang bermakna serta kesediaan untuk bekerjasama demi kepentingan bersama,” katanya.

Sementara itu, Sahul Hamid berkata perpaduan bukan bermaksud semua rakyat perlu mempunyai kesamaan, sebaliknya kepelbagaian dalam kalangan masyarakat Malaysia harus diterima dan diraikan, bukannya diketepikan.

“Perpaduan bermaksud kita saling menghormati kepelbagaian. Kita bukan membicarakan tentang membentuk sebuah masyarakat yang seragam dengan satu identiti tunggal, sebaliknya kita perlu menghormati dan menghargai setiap perbezaan yang wujud antara kita. Itulah asas dan tunjang kepada perpaduan,” katanya.

Beliau turut menyeru pertubuhan masyarakat memainkan peranan dalam membimbing generasi muda Malaysia menilai kesahihan maklumat yang tersebar menerusi media sosial, khususnya kandungan yang boleh mencetuskan stereotaip kaum dan dimanipulasi untuk kepentingan politik.

Santhananaban pula berkata nilai-nilai asas yang digariskan oleh pengasas negara sejak awal pembentukannya menekankan kepentingan kestabilan, saling menghormati dan integriti.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan serius berkaitan perkembangan politik dan kehakiman mutakhir ini, di samping menegaskan tindakan mengetepikan prinsip kedaulatan undang-undang secara langsung akan menghakis kepercayaan awam serta menjejaskan prinsip kesamarataan.

"Kita perlu memelihara segala yang telah dimiliki negara ini. Negara ini memiliki perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya sambil menambah kepimpinan masa kini perlu melindungi kepentingan teras rakyat Malaysia dan menjunjung integriti institusi, bukannya mengejar matlamat bersifat dangkal, bagi memastikan seluruh lapisan masyarakat dapat berkembang bersama-sama berlandaskan prinsip keadilan saksama.

Terdahulu, Presiden PPK Lt Kol (B) Datuk Zarazilah Mohd Ali dalam ucapan alu-aluannya berkata forum berkenaan kembali dianjurkan selepas lapan tahun sejak edisi pertama pada Mei 2018 bagi memastikan suara rakyat biasa terus didengari oleh pemimpin politik dan penggubal dasar.

Beliau berkata forum itu menjadi wadah penting bagi mengetengahkan suara dan hasrat sebenar rakyat demi membina masyarakat yang progresif serta bersatu padu.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Forum Aspirasi Rakyat 2.0, Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji berkata forum itu diwujudkan bagi menyediakan platform kepada rakyat dan pertubuhan masyarakat untuk menyuarakan aspirasi serta kebimbangan mereka berhubung isu-isu yang menjejaskan negara.

Beliau berkata forum itu bersifat bukan politik dan bermatlamat menggalakkan sumbangan idea secara konstruktif ke arah pembangunan negara, khususnya dalam memastikan rakyat Malaysia dapat terus hidup bersama-sama dalam suasana aman dan harmoni.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement