Maduro seru CELAC bersatu hadapi ancaman tentera AS di Caribbean

Maduro menegaskan tindakan AS dalam memerangi pengedaran dadah telah mengakibatkan pembunuhan di luar proses undang-undang. - Gambar/ AP
MEXICO CITY: Negara-negara Amerika Latin perlu bersatu mempertahankan kedaulatan dan keamanan susulan peningkatan kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau Caribbean, kata Presiden Venezuela Nicolas Maduro, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Ringkasan AI
- Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, menyeru negara Amerika Latin bersatu mempertahankan kedaulatan dan keamanan susulan peningkatan kehadiran tentera AS di rantau Caribbean.
- Maduro menegaskan tindakan AS dalam memerangi pengedaran dadah telah mengakibatkan pembunuhan di luar proses undang-undang, serta mengecam cubaan untuk menghidupkan semula Doktrin Monroe yang dianggap sebagai pencerobohan.
- Venezuela menuntut Amerika Latin dan Caribbean diisytiharkan sebagai Zon Keamanan, mengecam usaha ketenteraan di rantau tersebut, dan menegaskan solidariti dengan Cuba serta menuntut pemansuhan semua sekatan unilateral.
Pemimpin Venezuela itu menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan atas alasan menjamin keselamatan atau memerangi pengedaran dadah telah mengakibatkan pembunuhan di luar proses undang-undang.
Beliau berkata tindakan oleh AS itu dikecam oleh pakar PBB dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia dan perlu disiasat di peringkat antarabangsa.
"Berhadapan dengan demonstrasi kekuatan berskala besar seperti ini, tiada ruang untuk kompromi. Prinsip yang sedang dipertaruhkan kini jelas dan tegas: kedaulatan negara serta hak rakyat untuk menentukan nasib sendiri.
"Venezuela dengan tegas menyatakan bahawa ia tidak menerima dan tidak akan menerima sebarang bentuk pengawasan," katanya.
Maduro turut mengecam keras cubaan untuk menghidupkan semula Doktrin Monroe, yang menurutnya "menjadikan Amerika Latin medan pencerobohan dan rampasan kuasa demi merampas sumber asli," serta menegaskannya berlawanan dengan Doktrin Bolivar yang mempertahankan kemerdekaan, perpaduan dan pembebasan rakyat.
Presiden Venezuela itu turut menggesa peserta sidang kemuncak supaya mengisytiharkan Amerika Latin dan Caribbean sebagai Zon Keamanan, mengecam usaha ketenteraan di rantau itu dan menubuhkan mekanisme bagi kerjasama kemanusiaan serta pertahanan kolektif.
Maduro juga menegaskan solidariti Venezuela dengan Cuba, menyifatkan sekatan ekonomi Amerika sebagai "tindakan jenayah dan tidak berperikemanusiaan," serta menuntut pemansuhan semua sekatan unilateral, termasuk yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah.
"Amerika Latin dan Caribbean adalah bangsa-bangsa merdeka yang menuntut dialog setara dan penuh hormat. Kami tidak menerima sekatan sebagai alat hukuman politik," katanya sambil menyuarakan harapan agar sidang kemuncak itu menjadi permulaan kepada "era baharu perpaduan benua dan pertahanan kedaulatan."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


