WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menolak permohonan Presiden Donald Trump untuk membatalkan keputusan juri yang mendapati beliau bertanggungjawab dalam kes saman sivil yang difailkan penulis E Jean Carroll.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah tertinggi AS berkenaan turut menolak rayuan serupa pada Jun lalu.
Permohonan terbaharu Trump adalah usaha untuk mendapatkan semakan semula terhadap keputusan tersebut, namun ditolak tanpa sebarang penjelasan lanjut.
Peguam Carroll, Roberta Kaplan, berkata keputusan itu menjadikan keputusan juri yang memihak kepada anak guamnya sebagai muktamad dan tidak lagi boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
Trump secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan berhujah bahawa perbicaraan itu tidak adil kerana beberapa bukti yang dibentangkan didakwa mempengaruhi persepsi juri terhadap dirinya.
Pada Julai lalu, Carroll menerima lebih AS$5 juta termasuk faedah selepas mahkamah mengarahkan bayaran ganti rugi itu diserahkan kepadanya susulan kegagalan Trump membatalkan keputusan berkenaan.
Carroll, bekas kolumnis majalah yang kini berusia 82 tahun, memfailkan saman terhadap Trump berhubung insiden yang didakwanya berlaku di sebuah gedung serbaneka di Manhattan pada pertengahan 1990-an.
Juri persekutuan pada 2023 memutuskan Trump bertanggungjawab atas dakwaan serangan seksual dan fitnah terhadap Carroll.
Bagaimanapun, Trump masih mempunyai satu lagi rayuan berasingan yang sedang dipertimbangkan Mahkamah Agung berkaitan keputusan mahkamah yang menganugerahkan Carroll ganti rugi sebanyak AS$83.3 juta dalam kes fitnah lain. Mahkamah belum membuat keputusan sama ada akan mendengar rayuan tersebut.
Setakat ini, Trump belum mengulas keputusan terbaharu Mahkamah Agung itu.