MOSCOW: Sebuah mahkamah di Moscow pada Rabu mendapati Telegram dan syarikat Amerika Syarikat, Google, bersalah melanggar undang-undang Rusia dan mengenakan denda terhadap kedua-duanya.
Menurut laporan Anadolu Ajansi, Mahkamah Bandar Tagansky mengenakan denda sebanyak 7 juta ruble (AS$91,300) ke atas Telegram kerana enggan memadam beberapa iklan berkaitan penjualan alkohol secara jarak jauh serta kandungan lesbian, gay, dwiseksual dan transjantina (LGBT).
Advertisement
Dalam perbicaraan berasingan, Google didenda lebih 22 juta ruble (AS$287,000) kerana mengedarkan perkhidmatan rangkaian persendirian maya (VPN) dan membenarkan akses kepada laman sesawang yang disekat di Rusia melalui Google Play.
Denda terbaharu itu menambah kepada penalti terdahulu terhadap Google.
Pada 19 Feb, Mahkamah Agung Rusia mengekalkan keputusan yang mengarahkan Google membayar denda luar biasa sebanyak 91.5 kuintilion ruble (kira-kira AS$1.2 kuintilion).
Pakar menganggarkan jumlah itu kira-kira satu juta kali ganda lebih besar daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.
Pertikaian undang-undang itu bermula pada 2020 apabila beberapa saluran media Rusia menyaman Google berhubung sekatan akaun YouTube mereka.
Mahkamah Rusia memutuskan memihak kepada media berkenaan, namun Google gagal mematuhi perintah itu, sekali gus mencetuskan penalti harian progresif yang bermula pada 100,000 ruble dan berganda setiap minggu.
Susulan tercetusnya konflik di Ukraine, Google menggantung kebanyakan operasinya di Rusia, manakala subsidiarinya di negara itu memfailkan kebankrapan pada Oktober 2023.
Mahkamah akhirnya mengehadkan denda kepada 91.5 kuintilion ruble setakat tarikh kebankrapan.
Sebelum had itu ditetapkan, penalti teori berkenaan meningkat kepada 1.81 “duodesilion” ruble, iaitu angka dengan 39 sifar.
--BERNAMA-ANADOLU