KUALA LUMPUR: Perdagangan luar Malaysia meneruskan trajektori meningkat pada suku pertama 2026 (S1 2026) dengan berkembang 10.4 peratus tahun ke tahun kepada RM789.85 bilion, disokong pertumbuhan eksport yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata, eksport meningkat 12.7 peratus kepada RM426.53 bilion, mencatat nilai suku tahunan kedua tertinggi pernah direkodkan, manakala import berkembang 7.7 peratus kepada RM363.31 bilion.
Advertisement
“Prestasi kukuh ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM63.22 bilion, iaitu yang tertinggi pernah direkodkan bagi suku pertama,” menurut kementerian itu.
MITI berkata, peningkatan eksport didorong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap barangan perkilangan, khususnya produk elektrik dan elektronik (E&E) serta barangan optik dan saintifik, selain peningkatan eksport hasil galian seperti bijih logam dan serpihan logam.
Barangan E&E kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan eksport, dengan peningkatan melebihi RM40 bilion, disokong oleh permintaan global yang mampan serta penggunaan teknologi berterusan dalam pasaran utama.
Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama termasuk China, Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan mencatat pertumbuhan dua digit yang kukuh pada suku berkenaan, manakala eksport ke ASEAN berkembang pada kadar lebih sederhana.
Sementara itu, prestasi perdagangan bagi Mac 2026 kekal positif dengan meningkat 9.3 peratus tahun ke tahun kepada RM272.95 bilion.
Eksport bertambah 8.3 peratus kepada RM148.75 bilion, nilai bulanan kedua tertinggi pernah direkodkan, manakala import meningkat 10.4 peratus kepada RM124.20 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM24.55 bilion.
“Ini merupakan lebihan dagangan bagi bulan ke-71 berturut-turut sejak Mei 2020,” menurut MITI.
Menurut kementerian itu, pengembangan berterusan perdagangan dicapai dalam keadaan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat, yang menyumbang kepada ketidaktentuan perdagangan global serta meningkatkan tekanan terhadap kos logistik dan kecekapan rantaian bekalan.
MITI berkata, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan volum perdagangan barangan global berkembang lebih sederhana pada kadar 1.9 peratus pada 2026, mencerminkan prospek luaran yang bercampur.
Dalam masa sama, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan eksport Malaysia berkembang 8.6 peratus dan import meningkat 9.0 peratus tahun ini, mencerminkan permintaan domestik dan luaran yang lebih kukuh.
Dari segi sektor, eksport barangan perkilangan yang merangkumi 88.0 peratus daripada jumlah eksport pada Mac meningkat 9.6 peratus y-o-y kepada RM130.83 bilion, didorong terutamanya oleh produk E&E, keluaran petroleum serta barangan optik dan saintifik.
Bagaimanapun, eksport barangan pertanian menyusut 7.8 peratus kepada RM7.55 bilion, dipengaruhi penurunan harga eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit meskipun jumlah eksport meningkat.
Dari sudut kedudukan global, Malaysia memperbaiki kedudukan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi 2025 dengan eksport meningkat ke tangga ke-23 daripada ke-25 sebelum ini, manakala jumlah perdagangan turut naik ke tangga ke-23 dan import ke tangga ke-24.
“Walaupun pencapaian ini mencerminkan daya tahan Malaysia serta integrasi kukuh dalam rantaian bekalan global, prospek kekal terdedah kepada risiko luaran, khususnya ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan,” menurut MITI.
Kementerian itu menambah, ia akan terus memantau perkembangan global secara rapi selain menggalakkan pengeksport memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada, meneroka pasaran baharu serta mempelbagaikan penawaran produk bagi memperkukuh daya tahan dalam persekitaran mencabar.