ISLAMABAD: Mahkamah Agung Pakistan mengarahkan bekas Perdana Menteri Imran Khan dipindahkan dari penjara ke sebuah hospital swasta bagi menjalani rawatan lanjut, sekali gus memenuhi tuntutan lama daripada parti dan keluarganya yang bimbang terhadap keadaan kesihatannya.
Jurucakap Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), Naeem Haider Panjutha, berkata mahkamah mengarahkan Imran dipindahkan ke Hospital Antarabangsa Shifa dalam tempoh 48 jam.
Menurut beliau, pemimpin pembangkang itu akan ditempatkan di hospital berkenaan sehingga sekurang-kurangnya 16 September, sementara sebuah lembaga perubatan memantau keadaan kesihatannya.
Sementara itu, seorang lagi jurucakap PTI, Zulfikar Bukhari, menyambut baik keputusan mahkamah itu dan berharap rawatan berkenaan dapat membantu menangani masalah kesihatan serta gangguan penglihatan yang dialami Imran.
"Ia satu keputusan yang sangat dialu-alukan dan kami berharap ia dilakukan lebih awal supaya kesihatan serta penglihatannya tidak merosot seteruk ini," katanya.
Beliau berkata bekas kapten kriket Pakistan itu wajar terus berada di bawah pemantauan hospital sehingga pasukan doktor berpuas hati dengan tahap kesihatannya.
Imran, 73, dipenjarakan sejak Ogos 2023 selepas disabitkan dalam beberapa kes yang menurut beliau dan penyokongnya bermotifkan politik susulan penyingkirannya daripada jawatan perdana menteri pada 2022.
Peguam dan ahli keluarga beliau sebelum ini berulang kali menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatannya, termasuk dakwaan bahawa beliau kehilangan sebahagian besar penglihatan pada mata kanannya ketika berada dalam tahanan.
Perintah mahkamah itu turut membenarkan ahli keluarga menemui Imran sepanjang tempoh rawatannya di hospital serta membolehkannya berhubung dengan anak-anaknya yang berada di luar negara.