BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini memutuskan tempoh khidmat Prayuth Chan o-cha sebagai perdana menteri tidak melebihi had lapan tahun yang ditetapkan perlembagaan negara.

Mahkamah membuat keputusan 6:3 dengan enam hakim berkata bahawa penggal Prayuth bermula pada 6 April 2017 apabila perlembagaan baru dikuatkuasakan.

Dalam bacaan keputusan selama 25 minit itu, mahkamah berkata Prayuth, 68, boleh menyambung semula tugasnya selepas digantung tugas selama lima minggu.

Bagaimanapun, tempoh khidmatnya sebagai perdana menteri akan berakhir pada 2025 dan beliau tidak boleh berkhidmat untuk penggal penuh jika memenangi pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan pada 2023.

Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand berkata pilihan raya mesti diadakan selewat-lewatnya pada 7 Mei, 2023n.

Pada 24 Ogos, Mahkamah Perlembagaan menggantung Prayuth daripada tugas rasmi selepas memutuskan untuk mendengar petisyen daripada blok pembangkang yang meminta semakan untuk melihat sama ada khidmat beliau telah melebihi had penggal lapan tahunnya.

Parti pembangkang Pheu Thai mendakwa tempoh masa pemerintahan Prayuth perlu diambil kira bermula tarikh rampasan kuasa tentera pada 2014.

Bagaimanapun, penyokong Prayuth berkata tempoh khidmat beliau bermula sejak perlembagaan 2017 dikuatkuasakan, malah ada yang menyatakan ia sepatutnya bermula selepas pilihan raya umum 2019.

Perlembagaan Thailand 2017 mengehadkan mana-mana perdana menteri berkhidmat lebih lapan tahun secara keseluruhan.

Sementara itu, Mahkamah Perlembagaan Thailand dan pejabatnya telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan bermula 7 malam Khamis hingga 6 pagi Isnin.

Polis berkata 300 anggota ditugaskan di sekitar mahkamah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman.

Sementara itu, sekurang-kurangnya dua kumpulan anti-kerajaan merancang untuk berkumpul di daerah pusat perniagaan Bangkok pada Jumaat ketika mahkamah membacakan keputusannya.

-- BERNAMA