INTERNATIONAL
Mahmoud Abbas gesa terima pakai 'pelan Arab' untuk tamatkan perang di Palestin

Mahmoud Abbas menyeru pemimpin Arab terima pakai pelan menyeluruh bagi menamatkan perang dan mencapai keamanan, termasuk gencatan senjata kekal, pembebasan tahanan, penghantaran bantuan tanpa syarat, dan pengunduran tentera Israel dari Gaza. -AP
BAGHDAD: Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas menyeru pemimpin Arab untuk menerima pakai satu pelan menyeluruh bagi menamatkan perang dan mencapai keamanan.
Ringkasan AI
- Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas, menyeru pemimpin Arab untuk menerima pakai pelan menyeluruh bagi menamatkan perang dan mencapai keamanan, termasuk gencatan senjata kekal, pembebasan tahanan, penghantaran bantuan tanpa syarat, dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
- Beliau menekankan bahawa Hamas dan pihak lain perlu menyerahkan senjata kepada Pihak Berkuasa Palestin sebagai wakil tunggal rakyat Palestin, serta mencadangkan persidangan antarabangsa di Mesir untuk pembinaan semula Gaza.
- Abbas turut menuntut penghentian rampasan dan aneksasi Israel di Baitulmuqaddis, serta menyeru penubuhan negara Palestin dengan pengiktirafan penuh oleh masyarakat antarabangsa, selaras dengan usaha diplomatik yang sedang dibincangkan oleh pemimpin Arab di Baghdad.
"(Kita mesti) menerima pakai pelan Arab untuk menamatkan perang, menegakkan keamanan, termasuk perkara berikut: pertama, gencatan senjata kekal, pembebasan segera semua tahanan Palestin dan tebusan Israel, serta penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa syarat, di samping pengunduran sepenuhnya tentera pendudukan Israel dari Semenanjung Gaza," katanya.
Mahmoud Abbas menuntut agar Israel menghentikan segera tindakan rampasan, aneksasi, dan perubahan status sejarah serta undang-undang di tapak suci di Baitulmuqaddis.
Beliau dalam ucapannya menyeru sokongan negara-negara Arab, pentadbiran Amerika Syarikat, dan Majlis Keselamatan PBB untuk menentang usaha tersebut dan menegaskan keperluan menubuhkan negara Palestin di wilayah Palestin dengan pengiktirafan penuh oleh masyarakat antarabangsa.
Beliau mencadangkan agar satu persidangan antarabangsa diadakan di Mesir bagi melaksanakan pelan pembinaan semula Gaza.
Mahmoud Abbas turut menekankan bahawa Hamas dan semua pihak lain perlu menyerahkan senjata mereka kepada Pihak Berkuasa Palestin sebagai wakil tunggal rakyat Palestin.
Beliau dalam pada itu mengumumkan kesediaan Pihak Berkuasa Palestin untuk mengadakan pilihan raya presiden dan parlimen tidak lama lagi.
"Kami menegaskan bahawa kami bersedia untuk mengadakan pilihan raya presiden dan parlimen pada tahun akan datang, seperti yang pernah berlaku sebelum ini, apabila keadaan mengizinkan … di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa langkah perlembagaan telah diambil dengan mewujudkan jawatan naib presiden sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan politik.
Mahmoud Abbas turut memuji pendirian tegas dan seruan tulus oleh negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam mencari penyelesaian yang adil dan menyeluruh terhadap konflik Palestin.
Kenyataan Mahmoud Abbas hadir ketika pemimpin Arab berkumpul di Baghdad untuk membincangkan krisis Gaza dan usaha diplomatik bagi mencapai penyelesaian yang berkekalan.
Sidang Kemuncak Liga Arab 2025 berlangsung hari ini di Baghdad, Iraq bagi membincangkan pelbagai isu serantau, termasuk situasi di Gaza dan Syria.
Ia melibatkan pemimpin dan wakil dari pelbagai negara anggota Liga Arab serta beberapa organisasi antarabangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami