Skip to main content

Dunia

Malaysia-Jepun meterai 4 memorandum kerjasama, 2 surat hasrat

Japanese Prime Minister Sanae Takaichi (R) and Malaysian Prime Minister Anwar Ibrahim (L) hold a joint press announcement following their bilateral meeting at the Prime Minister’s Office in Tokyo, Japan, on June 10, 2026. David Mareuil/Pool via REUTERS
Lawatan Anwar berlangsung menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun pada tahun 2027, sekali gus menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama yang telah terjalin sejak sekian lama. - Foto/ REUTERS

TOKYO: Malaysia dan Jepun memeterai empat Memorandum Kerjasama (MoC) bagi memperkukuh hubungan pelaburan strategik merangkumi sektor berimpak tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemeteraian itu mencerminkan komitmen bersama untuk memperluas kerjasama ekonomi ke arah sektor masa depan termasuk tenaga, teknologi dan kelestarian.

“Kita telah memeterai empat Memorandum Kerjasama yang diumumkan, dan kini tiba masanya untuk memastikan pelaksanaannya,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, di Pejabat Perdana Menteri Jepun di sini, pada Rabu.

MoC tersebut melibatkan bidang keselamatan dan sekuriti maritim, alam sekitar dan kelestarian, pengurusan sisa pepejal serta rangka kerja kawal selia peranti perubatan.

Pada masa sama, dua Surat Hasrat (LoI) turut dipersetujui melibatkan keselamatan serta peralihan tenaga, selain kerjasama pertukaran akademik antara Universiti Tokyo dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Keseluruhan enam instrumen ini dijangka menjadi pemangkin baharu aliran pelaburan Jepun ke Malaysia, khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau dan inovasi industri.

Kerjasama tenaga membuka peluang pelaburan dalam teknologi rendah karbon termasuk hidrogen, manakala inisiatif alam sekitar dan sisa pepejal menyokong pembangunan infrastruktur hijau.

Dalam sektor kesihatan, kerjasama regulatori peranti perubatan dijangka memudah cara pelaburan teknologi dan penyelidikan, sekali gus mengukuhkan Malaysia sebagai hab serantau.

Selain itu, kerjasama akademik memberi tumpuan kepada pembangunan bakat berkemahiran tinggi, manakala aspek keselamatan maritim meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan rantaian bekalan.

Langkah ini mencerminkan pendekatan lebih menyeluruh dalam hubungan Malaysia–Jepun, ke arah kerjasama pelaburan yang mampan dan berdaya tahan.

Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik di Asia Tenggara, dengan Jepun kekal sebagai antara rakan ekonomi paling penting dalam memacu pertumbuhan jangka panjang negara.

Must Watch Video

Advertisement