Skip to main content
Advertisement

Dunia

Malaysia rekod pencapaian terbaik WSC sejak 1995 - Ahmad

[TB]_WorldSkills Competition_FB Ahmad Maslan
Ahmad berkata keputusan cemerlang itu secara tidak langsung melonjakkan kedudukan peserta belia Malaysia dalam kelompok 10 terbaik dunia bagi 11 bidang kemahiran yang dipertandingkan. - Foto Facebook/Ahmad Maslan
Advertisement

SHANGHAI: Malaysia mencatatkan pencapaian terbaik dalam penyertaan WorldSkills Competition (WSC) sejak 1995 selepas berjaya membawa pulang satu pingat gangsa dan 13 Pingat Kecemerlangan pada edisi Shanghai 2026.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata kejayaan meraih 14 pingat menerusi 21 bidang kemahiran yang disertai menyaksikan dua pertiga daripada keseluruhan peserta negara berjaya mengukir nama di pentas antarabangsa.

Ahmad yang juga Chef De Mission Malaysia ke WSC berkata keputusan cemerlang itu secara tidak langsung melonjakkan kedudukan peserta belia Malaysia dalam kelompok 10 terbaik dunia bagi 11 bidang kemahiran yang dipertandingkan.

“Ini pencapaian terbaik negara dari jumlah pingat yang kita peroleh sejak 1995 apabila kita memasuki WSC,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Penutupan WSC Shanghai 2026 di Shanghai World Expo Cultural Centre di sini Ahad malam.

Beliau menyifatkan lonjakan pingat yang ketara berbanding edisi 2024 di Lyon, Perancis yang merekodkan satu gangsa dan empat Pingat Kecemerlangan sebagai satu kejayaan besar yang wajar dibanggakan rakyat Malaysia.

Ahmad berkata peningkatan kualiti pencapaian belia tempatan berusia bawah 22 tahun itu dibuktikan menerusi penguasaan markah melebihi 700 daripada 1,000 markah penuh bagi syarat penarafan Pingat Kecemerlangan peringkat antarabangsa.

Menerusi keputusan rasmi kejohanan, Malaysia meraih kedudukan keempat dunia bagi bidang Teknologi Kenderaan Rel, tempat kelima dunia bagi Elektronik dan Bakeri manakala bidang Pembinaan Digital serta Seni Permainan Digital 3D masing-masing di tangga keenam dunia.

“Alhamdulillah daripada 21 peserta, 14 dapat pingat, jadi dua pertiga daripada peserta kita mendapat pingat,” katanya.

Berhubung sasaran untuk edisi WSC 2028 di Aichi, Jepun, Ahmad berkata kontinjen negara tekad untuk memperluas penyertaan minimum 50 peratus atau 32 daripada 64 bidang kemahiran yang dipertandingkan dalam usaha memburu pingat emas sulung negara.

Ahmad berkata penyertaan konsisten dalam siri WSC bermula dari peringkat kebangsaan, ASEAN hingga ke Asia terbukti menjadi pemangkin utama kepada peningkatan piawaian ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan.

Beliau berkata berdasarkan pencapaian serantau sebelum ini, Malaysia muncul johan keseluruhan di WorldSkills ASEAN Manila 2025 dengan meraih 13 pingat emas sebelum menduduki tempat ketiga terbaik Asia pada WorldSkills Asia Taipei 2025 menerusi lima emas.

Beliau berkata pencapaian memberangsangkan pada peringkat antarabangsa itu mencerminkan sinergi utuh pelbagai agensi pelaksana di bawah naungan Majlis TVET Negara termasuk Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ahmad menegaskan TVET yang kini menempatkan hampir 500,000 pelajar di 1,398 institusi latihan di seluruh negara bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya diiktiraf sebagai kerjaya utama.

WSC Shanghai 2026 menyaksikan kontinjen Malaysia diwakili 22 peserta yang bertanding dalam 21 bidang kemahiran merangkumi pelbagai sektor teknikal di bawah seliaan Jabatan Pembangunan Kemahiran dan KKR. 

Kejohanan itu berlangsung dari 22 hingga 27 Sept dan menghimpunkan 1,400 profesional muda berkemahiran terbaik dari 65 negara dan wilayah mewakili 64 bidang kemahiran.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement