Skip to main content

Dunia

Mamdani tunaikan janji, sewa apartmen dibekukan

Democratic congressional candidate Brad Lander arrives with New York City Mayor Zohran Mamdani for an election night watch party Tuesday, June 23, 2026, in New York. (AP Photo/Ryan Murphy)
Mamdani menyifatkan keputusan itu sebagai satu kejayaan bersejarah. - Foto REUTERS
Advertisement

NEW YORK: Bandar Raya New York meluluskan pembekuan kadar sewa bagi kira-kira satu juta apartmen terkawal selama sehingga dua tahun, dalam langkah yang dilihat sebagai kemenangan besar bagi Datuk Bandar, Zohran Mamdani.

Keputusan itu dibuat selepas Lembaga Garis Panduan Sewa bandar tersebut mengundi 7-1 untuk menetapkan kenaikan sewa kepada sifar bagi kontrak sewaan satu dan dua tahun bermula Oktober ini.

Pengumuman tersebut disambut dengan sorakan dan tepukan oleh ratusan penyewa yang memenuhi sebuah auditorium di Manhattan.

Mamdani menyifatkan keputusan itu sebagai satu kejayaan bersejarah.

“Ini adalah kemenangan besar untuk penyewa di New York. Inilah kelegaan yang sewajarnya dinikmati oleh golongan pekerja di bandar ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Langkah ini merupakan antara janji utama kempen beliau untuk menjadikan kos sara hidup di New York lebih mampu milik.

Apartmen terkawal menempatkan kira-kira suku daripada penduduk New York, menjadikan keputusan ini memberi kesan besar kepada jutaan orang.

Menurut kajian lembaga bagi tahun 2025, purata sewa bulanan bagi unit terkawal adalah sekitar AS$1,599, jauh lebih rendah berbanding sewa pasaran bagi unit baharu yang mencecah sekitar AS$3,950.

Keputusan ini dibuat selepas beberapa minggu perdebatan sengit antara penyewa dan pemilik hartanah.

Penyewa mendesak pembekuan atau pengurangan sewa kerana kos sara hidup dan inflasi yang meningkat, manakala kumpulan pemilik memberi amaran bahawa langkah tersebut boleh menyukarkan penyelenggaraan bangunan serta pembayaran pinjaman.

Sesetengah pemilik turut mendakwa mereka terpaksa menaikkan sewa unit tidak terkawal bagi menampung kerugian.

Menjelang undian, seorang wakil pemilik dalam lembaga itu, Christina Smyth, meletak jawatan dan mengkritik keputusan yang didakwanya telah ditentukan lebih awal.

Beliau menuduh lembaga tersebut tidak lagi berkecuali dan mendakwa pembekuan sewa adalah keputusan yang dipengaruhi oleh pentadbiran Datuk Bandar.

Namun, Pengerusi lembaga, Chantella Mitchell, menegaskan bahawa proses itu dijalankan secara bebas dan berintegriti.

Dalam masa sama, pengkritik menyuarakan kebimbangan bahawa pembekuan sewa boleh memberi tekanan kepada sektor perumahan, khususnya kepada pemilik kecil.

Namun penyokong pula melihatnya sebagai langkah penting untuk melindungi penyewa daripada kenaikan kos yang melampau.

Keputusan ini juga menyerlahkan pengaruh Mamdani, yang telah melantik majoriti ahli lembaga sejak mengambil alih jawatan pada Januari.

Ia turut menambah siri kejayaan politik beliau, termasuk kemenangan calon-calon berhaluan kiri dalam pemilihan parti Demokrat baru-baru ini.

Pembekuan sewa ini dijangka memberi kelegaan sementara kepada penyewa, tetapi juga mencetuskan perdebatan lanjut mengenai keseimbangan antara kebajikan penyewa dan keperluan pemilik hartanah.

Langkah tersebut menandakan perubahan besar dalam pendekatan perumahan di New York, ketika bandar itu terus bergelut dengan isu kos sara hidup yang semakin meningkat.
 

 

Must Watch Video

Advertisement