LONDON: Menteri Kewangan Britain Kwasi Kwarteng pada Jumaat mengesahkan bahawa beliau telah dipecat oleh Perdana Menteri Liz Truss.

Kwarteng, 47,  dipecat selepas kurang enam minggu memegang jawatan itu, lapor BBC.

Pemecatan Kwarteng berlaku di tengah-tengah spekulasi bahawa Truss akan membuat pusingan-U dengan sebahagian daripada pembentangan bajet mini akan diubah.

Dengan pemecatan tersebut, Kwarteng menjadi canselor yang mempunyai tempoh kedua paling singkat dalam rekod Britain.

Ia selepas Iain Macleod yang dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung 30 hari selepas memegang jawatan canselor pada 1970.

Kedudukan Truss pada masa sama dilaporkan goyah susulan terdapat gerakan dalaman Parti Konservatif yang didakwa cuba mengatur rancangan untuk menggantikannya.

Sementara itu, bekas menteri luar negeri UK, Jeremy Hunt telah dilantik sebagai Menteri Kewangan Britain yang baharu, kata pejabat Perdana Menteri. -- Agensi