ISTANBUL: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pada Jumaat menyeru negara Islam supaya bergantung pada diri mereka sendiri dan mengukuhkan perpaduan serantau, menegaskan bahawa perpaduan antara negara serantau adalah cara terbaik untuk menghadapi ancaman luar, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam siaran di X, Araghchi berkata, angkatan tentera Iran telah menunjukkan "kesediaan, keupayaan dan kekuatan" mereka menentang "tentera paling mahal di dunia."
"Apabila umat Islam berdiri bersama, kita boleh menghadapi setiap cabaran pihak luar yang berniat jahat," katanya.
"Sudah tiba masanya untuk bergantung hanya pada diri kita sendiri dan merangkul persaudaraan sejati."
Kenyataan Araghchi dibuat ketika pemimpin Iran menggalakkan pengaturan keselamatan serantau yang diketuai negara di rantau ini dan bukannya kuasa asing.
Terdahulu pada Jumaat, Timbalan Menteri Luar, Kazem Gharibabadi berkata, negara Teluk semakin menyedari bahawa keselamatan serantau harus dipastikan oleh negara rantau itu sendiri.
Gharibabadi berkata, pemimpin Teluk telah pun menunjukkan kemahuan politik untuk melancarkan proses dialog serantau baharu, termasuk menerusi cadangan mesyuarat menteri luar Teluk dan proses sedemikian boleh diteruskan jika keamanan dan kestabilan kembali ke rantau itu.
Ketegangan serantau meningkat pada 28 Feb, apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terkoordinasi ke atas infrastruktur ketenteraan, nuklear dan tenaga Iran.
Tehran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron ke atas sasaran Israel dan AS di seluruh rantau ini.
Iran dan AS menandatangani memorandum persefahaman pada 18 Jun melalui pengantaraan Pakistan dan Qatar bagi menamatkan permusuhan dan melancarkan rundingan ke arah perjanjian muktamad.
Rundingan itu kemudiannya terhenti kerana pertikaian mengenai keselamatan maritim dan kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz.
-- BERNAMA-ANADOLU