Skip to main content

Dunia

Menteri Luar Thailand, Rusia bincang kerjasama pelancongan dan tenaga

thairussia
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov turut mengkaji semula hubungan erat dan lama antara kedua-dua negara yang akan menyambut ulang tahun ke-130 pada 2027. - Gambar X: MFA of Thailand

MOSCOW: Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov membincangkan kerjasama dua hala dalam bidang pelancongan, tenaga dan keterjaminan makanan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS di New Delhi, menurut Kementerian Luar Thailand pada Jumaat, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Sihasak Phuangketkeow bertemu Sergey Lavrov di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS di New Delhi, dan membincangkan usaha memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelancongan, tenaga serta keterjaminan makanan,” menurut kementerian itu menerusi hantaran di X.

Kementerian itu memaklumkan, kedua-dua diplomat berkenaan turut mengkaji semula hubungan erat dan lama antara kedua-dua negara yang akan menyambut ulang tahun ke-130 pada 2027, selain membincangkan kemungkinan sambutan sempena ulang tahun itu.

Mereka turut bertukar-tukar pandangan mengenai situasi di Myanmar dan membincangkan penyelarasan dalam platform pelbagai hala termasuk kerjasama ASEAN-Rusia dan BRICS, menurut kementerian itu.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video