ANKARA: Sebuah kereta Mercedes-Benz vintaj yang juga model jarang ditemui dijual pada harga EUR135 juta (AS$143 juta, RM627 juta) dalam satu lelongan, sekali gus mencatat rekod sebagai kereta termahal di dunia, lapor agensi Anadolu.

Mercedes-Benz 300 SLR "Uhlenhaut Coupe" 1955 telah dijual kepada pengumpul persendirian, dan merupakan satu daripada dua prototaip yang pernah dikeluarkan bahagian perlumbaan Mercedes-Benz, menurut kenyataan RM Sotheby's, syarikat lelongan antarabangsa kereta klasik yang berpangkalan di Kanada.

Kereta itu dijual di Jerman pada 5 Mei.



Diberi nama sempena pencipta dan ketua jurutera Rudolf Uhlenhaut, kenderaan itu sering dilihat sebagai "kereta paling cantik di dunia," "antara satu permata hebat dalam sejarah permotoran" dan "satu contoh terbaik kejuruteraan dan reka bentuk automotif" oleh pakar dan peminat automotif di seluruh dunia.

Kenderaan itu berasaskan kereta W 196 R Grand Prix yang berjaya memenangi dua kejuaraan dunia menerusi Juan Manuel Fangio, pemandu kereta lumba legenda Argentina yang mendominasi perlumbaan Formula 1 serta memenangi Kejohanan Pemandu Dunia sebanyak lima kali pada tahun 1950-an.



300 SLR telah dipertingkatkan enjinnya kepada 3.0 liter untuk perlumbaan kereta sport, dengan kelajuan 180 batu sejam (289.7 kilometer sejam), menjadikannya antara kereta terpantas di jalan raya pada zamannya.

Harga itu menjadikannya kereta paling berharga pernah dijual menerusi lelongan, memecah rekod Ferrari 250 GTO 1962 dijual dengan harga AS$48.4 juta pada 2018 menerusi lelongan RM Sotheby's.

-- BERNAMA