Jika Itali megah dengan lukisan karya agung Michaelangelo, di Turki pula tidak kurang hebatnya dengan kisah seorang artis yang begitu kreatif hingga mencetus fenomena baharu.

Hasan Kale, 57 tahun, sangat terkenal dalam kalangan penduduk sekitar Instanbul sehingga digelar sebagai "Microangelo".

Dia merupakan seorang pelukis hebat dan mampu menterjemahkan lukisan kebanyakan pemandangan di sekitar Turki di atas objek bersaiz kecil, malah sehingga di atas biji buah-buahan.

GALERI: 'Microangelo' Turki menceritakan kisah Istanbul atas objek miniatur

Baginya, tiada objek yang terlalu kecil untuk beliau lakarkan lukisan - dari biji benih sehinggalah kepada penutup botol, juga di atas tulang ikan.

Malah Kale pernah melukis suasana kampung halamannya di Istanbul pada makanan dan objek-objek kecil lain

"Sudah tentu satu-satunya halangan ialah saya tidak boleh gantung di dinding dan melihatnya semasa menghirup kopi. Saya perlu menjiwainya secara mendalam," kata Kale.

Meraikan ulang tahun ke-22 sebagai seorang artis mikro, Kale berkata beliau setakat ini sudah melukis di atas 350 objek yang berbeza.

Tetapi antara cabaran terbesar dalam menggunakan makanan sebagai kanvas ialah lukisan itu mungkin tidak akan bertahan lama.

Pada masa kini, Kale berkata beliau sedang berusaha untuk membuka muzium objek mikro pertama di dunia untuk mempamerkan hasil karya mikronya.

"Saya berjuang untuk menjadikannya kekal selama-lamanya. Saya cuba membawanya ke tahap tertinggi dan saya mahu memaparkannya di muzium objek mikro yang pertama dan satu-satunya yang saya mahu buka," katanya lagi.