PUTRAJAYA: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah digerakkan ke zon ground zero bagi membantu pihak berkuasa Nepal mengesan ribuan mangsa yang masih hilang susulan bencana buruk yang melanda negara pergunungan itu.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penghantaran misi kemanusiaan tersebut telah mendapat kelulusan rasmi daripada kerajaan Nepal bagi membolehkan pasukan negara memulakan gerak kerja teknikal dengan segera.
"(Berkenaan) Nepal, kita telahpun mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan Nepal untuk kita menghantar pasokan SMART, dan telah pun sampai di sana dan telah pun mendapat taklimat atas kerjasama pasukan kita untuk membantu pasukan keselamatan Nepal, untuk kita cuba mengesan mangsa-mangsa yang masih lagi dalam kategori tidak dapat dikesan.
"Semua (anggota) SMART, telah digerakkan ke kawasan Ground Zero. Ada 11 orang anggota SMART, dan ada sembilan drone yang dibawa ke sana. Jadi, mereka melakukan gerak kerja yang seperti mana TOR (term of reference) yang diberi oleh pihak berkuasa Nepal," katanya dalam sidang media, di sini pada Isnin.
Menurut Mohamad, penggunaan aset pemantauan udara berkeupayaan tinggi amat kritikal bagi mempercepatkan operasi pencarian berskala besar di kawasan muka bumi yang mencabar.
"Kita membawa dron yang berkapasiti tinggi untuk membantu mengesan ramai yang dalam kategori yang tidak dapat dikesan, lebih kurang 5,000 orang masih tak dapat dikesan, dan kita berharap lah jika dengan bantuan SMART ini kita dapat mengesan," jelasnya.
Mengulas mengenai fasa pasca-SAR, beliau memaklumkan bahawa Malaysia bersiap siaga menghantar pasukan pakar forensik bagi tujuan pemadanan profil DNA sekiranya diperlukan.
"Selepas itu nanti kita akan mohon daripada pihak kerajaan Nepal untuk membawa pakar-pakar yang boleh mengesan DNA, jika ada mayat-mayat yang telah pun dijumpai, tetapi mereka terus menanam kerana mereka tidak mempunyai kemudahan yang besar.
"Kita memerlukan DNA-DNA untuk kita buat matching antara rakyat Malaysia, yang keluarga rakyat di Malaysia yang di sini yang memberikan DNA mereka," kata Mohamad.
"Jka boleh kita padankan DNA tersebut itu selepas usaha untuk menyelamat, search and rescue itu ditamatkan," katanya.
Sebelum ini, agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan bencana banjir kilat dan aliran puing lumpur dahsyat yang melanda wilayah pergunungan di sempadan Nepal dan Tibet pada 26 Ogos lalu bukan berpunca daripada gempa bumi, sebaliknya akibat runtuhan glasier berskala gergasi di Tibet.
Setakat ini, bencana itu telah meragut ratusan nyawa serta memusnahkan rangkaian perhubungan dan laluan darat di beberapa wilayah, mengakibatkan lebih 5,000 penduduk tempatan dan pengembara asing dilaporkan hilang atau terputus hubungan.
Berdasarkan laporan terkini Kementerian Luar (Wisma Putra), seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih belum dapat dihubungi, dengan sebahagian besarnya dipercayai menyertai aktiviti pendakian dan ekspedisi di kawasan terjejas.
Sebelum ini, seramai 77 rakyat Malaysia yang berada di Nepal dan kawasan sempadan disahkan selamat dan telah dibawa ke ibu negara, Kathmandu untuk urusan dokumentasi serta kepulangan ke tanah air.
Bagi membantu proses pengecaman di lapangan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Kimia Malaysia telah memulakan pengumpulan sampel profil DNA daripada waris terdekat mangsa di tanah air untuk diselaraskan bersama pihak berkuasa Nepal.