Mungkinkah diracun?

Itu antara aspek siasatan pakar yang menjalankan kajian mengenai penemuan 275 bangkai gajah di lokasi popular di Delta Okavango, Afrika Selatan beberapa minggu lalu.

Selain itu, siasatan turut menjurus ke arah kemungkinan kematian semua gajah terbabit disebabkan aktiviti pemburuan haram.

Jabatan Taman dan Hidupan Liar negara itu berkata, sekumpulan pakar telah dihantar lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat mengenai isu berkenaan.

Menurut Pemangku Pengarahnya, Lucas Taolo, pakar telah mengambil kesemua sampel daripada bangkai gajah berkenaan untuk dianalisa di makmal penyelidikan di Afrika Selatan, Zimbabwe, dan Kanada.

"Kami belum mempunyai jawapan bagi persoalan mengenai angka besar yang dilaporkan dan masih menjalankan siasatan mengenainya," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan masyarakat tempatan agar tidak cuba mengambil kesempatan termasuk mengambil gading daripada gajah berkenaan.

Kejadian itu disifatkan sebagai antara kejadian kematian gajah terbesar pernah berlaku dan mampu memberi impak kepada potensi pelancongan di Afrika.

Untuk rekod, Botswana mempunyai populasi gajah terbesar di dunia dengan lebih daripada 156,000 dikesan pada 2013.