KUALA LUMPUR: Perdana Menteri India, Narendra Modi merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas ucapan tahniah sempena pencapaian bersejarah beliau sebagai ketua kerajaan yang dipilih secara demokratik paling lama berkhidmat di India.
Menerusi hantaran di platform X, Modi berkata beliau amat menghargai hubungan persahabatan yang kukuh dan berkekalan antara India dan Malaysia.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara demi manfaat rakyat serta rantau ini.
"Terima kasih Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas ucapan.
"Saya amat menghargai persahabatan yang kukuh dan berkekalan antara India dan Malaysia serta berharap dapat bekerjasama rapat dengan anda untuk terus memperkukuh perkongsian kita demi manfaat rakyat kedua-dua negara dan rantau ini," katanya di sini, pada Rabu.
Anwar pada Rabu mengucapkan tahniah kepada Modi atas pencapaian bersejarah beliau sebagai ketua kerajaan yang dipilih secara demokratik paling lama berkhidmat di negara itu.
Anwar berkata, pencapaian itu mencerminkan dedikasi Modi selama bertahun-tahun dalam perkhidmatan awam serta kepimpinan beliau dalam memacu pembangunan, kemakmuran dan pengaruh India di peringkat global.
Perdana Menteri pada lawatan rasmi ke India dua tahun lalu menyifatkan Modi sebagai sahabat sejati (dost - dalam Bahasa Hindi).
Pada Rabu, Modi mencipta sejarah apabila menjadi Perdana Menteri India yang paling lama berkhidmat secara berterusan selepas mencatat tempoh pentadbiran selama 4,399 hari sejak mula memegang jawatan itu pada 2014.
Beliau mengatasi rekod yang dipegang Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru, yang berkhidmat selama 4,398 hari secara berterusan antara 1952 hingga 1964.
Selain Nehru, bekas Perdana Menteri, Indira Gandhi turut mencatat tempoh perkhidmatan yang panjang selama 14 tahun. Namun, pentadbirannya tidak berlangsung secara berterusan selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum India 1977 yang diadakan susulan penamatan tempoh Darurat.
Pencapaian terbaru Modi itu sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemimpin paling berpengaruh dalam sejarah politik moden India.