Presiden Mesir, Mohamed Morsi, menyeru kumpulan pemberontak di wilayah semenanjung Sinai, meletakkan senjata dengan segera.

Menurut Morsi, kumpulan tersebut perlu mengakui hakikat isu keselamatan nasional lebih penting, dan hanya pihak berkuasa sepatutnya mempunyai akses terhadap senjata.

Kenyataan Morsi dibuat dalam sidang media ketika beliau bertemu enam anggota keselamatan Mesir yang dibebaskan kumpulan pemberontak di Sinai.

Kesemua mangsa diculik di sekitar sempadan minggu lalu.

Mereka dibebaskan selepas tentera Mesir meningkatkan kehadiran anggota keselamatan di kawasan itu.

Ia juga susulan pendedahan video mangsa yang menuntut pentadbiran Morsi memenuhi tuntutan penculik supaya membebaskan tahanan Sinai, termasuk anggota pembangkang yang disabitkan kesalahan.

Dalam perkembangan berkaitan, Morsi turut mengalu-alukan kerjasama pasukan keselamatan serta ketua puak yang berusaha membebaskan mangsa culik.