DUNIA
Mpox: Kenya perketat pengawasan, bilangan kes dan kematian meningkat

Sebanyak 33 kes sedang dirawat di pelbagai kemudahan kesihatan manakala 54 kes menjalani pengasingan dan rawatan di rumah. - Gambar fail/ Reuters
NAIROBI: Kementerian Kesihatan Kenya pada Jumaat memaklumkan bahawa sebanyak 314 kes cacar monyet atau mpox dengan lima kematian telah direkodkan di seluruh negara sejak wabak itu bermula pada Julai 2024, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Sebanyak 314 kes mpox dan lima kematian telah direkodkan sejak Julai 2024, dengan 33 kes sedang dirawat di hospital dan 54 kes dalam pengasingan di rumah. Mombasa mencatat kes tertinggi (146), diikuti Busia (63).
- Kementerian Kesihatan Kenya telah menggerakkan pasukan respons pantas untuk pengesanan aktif, pemantauan kontak dan pengurusan kes, serta menyaring lebih 4.7 juta pengembara di pintu masuk negara.
- Orang ramai digesa mengambil langkah berjaga-jaga seperti mengelak sentuhan dengan individu dijangkiti, menggunakan peralatan perlindungan diri, dan tidak berkongsi pakaian atau selimut, serta tidak mempercayai maklumat palsu berkaitan mpox.
"Dalam tempoh 24 jam lepas, empat kes baharu mpox telah disahkan di Daerah Mombasa (3 kes) dan Daerah Nairobi (1 kes)," katanya.
Menurut beliau, sebanyak 222 pesakit telah pulih sepenuhnya, manakala lima orang meninggal dunia akibat penyakit itu, dengan kadar kematian kes kini pada kadar 1.6 peratus.
Sebagai langkah membendung penularan wabak, kementerian dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan rakan strategik telah mempergiatkan usaha pengawasan.
Duale berkata pasukan respons pantas pelbagai disiplin telah dikerahkan ke seluruh negara bagi memperkukuh kapasiti kesihatan, menjalankan pengesanan kes secara aktif, mengesan dan memantau kontak, serta menguruskan kes yang disahkan.
"Lebih 4.7 juta pengembara telah disaring di lapangan terbang dan pintu masuk lain, dan kes yang disyaki dikenal pasti untuk siasatan lanjut," katanya.
Kementerian turut menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan mpox, termasuk mengelak daripada bersentuhan dengan individu yang dijangkiti, menggunakan peralatan perlindungan diri serta tidak berkongsi selimut dan pakaian dengan individu dijangkiti.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mempercayai sebarang maklumat palsu atau mengelirukan yang boleh menjejaskan usaha kesihatan awam atau menyebabkan ketakutan dan kekeliruan yang tidak perlu," kata Duale.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami