DUNIA
Nahas Air India: Pelajar terselamat setelah terlepas pesawat akibat kesesakan jalan raya

Bhoomi Chauhan (foto) terselamat setelah terlepas penerbangan akibat tiba lewat di lapangan terbang kerana kesesakan lalu lintas. -Facebook Swaps Vel
NEW DELHI: Seorang pelajar dari United Kingdom terselamat selepas lewat tiba di lapangan terbang dan tidak dibenarkan menaiki penerbangan AI171 dari Ahmedabad ke London Gatwick.
Ringkasan AI
- Pelajar UK, Bhoomi Chauhan, terselamat daripada nahas pesawat AI171 selepas terlepas penerbangan akibat tiba lewat di lapangan terbang kerana kesesakan lalu lintas.
- Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu terhempas hanya 30 saat selepas berlepas dari Ahmedabad ke London, mengorbankan 241 penumpang dan anak kapal serta lapan orang di darat.
- Pihak berkuasa India dan pasukan penyiasat UK sedang menyiasat punca nahas yang disifatkan antara tragedi penerbangan paling buruk dalam sejarah India.
“Saya sangat kecewa kerana terlepas penerbangan.
"Saya merayu kepada kakitangan lapangan terbang, tetapi mereka tetap tidak membenarkan saya masuk,” katanya kepada media tempatan.
Dia yang menetap di Bristol bersama suaminya, sedang bercuti di India dan dijadualkan pulang ke United Kingdom (UK) pada Khamis.
Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner yang sepatutnya dinaiki Bhoomi berlepas seperti dijadualkan pada jam 1.39 petang waktu tempatan.
Namun hanya 30 saat selepas berlepas, ia mengeluarkan isyarat kecemasan sebelum terhempas di kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang.
Nahas itu mengorbankan 241 penumpang dan anak kapal serta sekurang-kurangnya lapan individu di darat.
Seorang penumpang, Vishwash Kumar Ramesh, 40, dari Leicester, merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat.
Pihak berkuasa India telah menemukan kotak hitam pesawat dan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas.
Pasukan penyiasat dari United Kingdom turut tiba di India untuk membantu siasatan.
Nahas ini merupakan antara tragedi penerbangan paling buruk dalam sejarah India, dengan pihak berkuasa kini berusaha mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami