Perdana Menteri China Li Keqiang menyambut Najib di Great Hall of People, yang menempatkan Kongres Rakyat Kebangsaan, badan perundangan tertinggi Republik Rakyat China.
Tembakan mariam 19 das turut disempurnakan sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Najib, dengan diiringi Li, kemudian memeriksa perbarisan kehormat terdiri daripada ketiga-tiga perkhidmatan ketenteraan negara itu.
Sejam sebelum itu, Najib kembali semula ke ibu negara China ini dari Pulau Pinang setelah bergegas pulang ke Malaysia pada malam Rabu bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak pagi ini.
Beliau dalam rangka lawatan enam hari ke negara ini sejak Selasa.
Najib dan Li kemudian ke Bilik Hebi di East Hall untuk mengadakan pertemuan dua hala.
Najib mengetuai delegasi 15 anggota yang termasuk Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Utusan Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron dan Duta Malaysia di China Datuk Iskandar Sarudin.
Datuk Seri Najib Tun Razak delegasi 15 anggota termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Utusan Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting. -Foto BERNAMA
Kedua-dua pemimpin itu kemudian menyaksikan majlis menandatangani enam memorandum persefahaman (MoU) peringkat Kerajaan dengan Kerajaan iaitu Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan bagi Pertahanan Nasional; Program Eksekutif untuk Kerjasama Kebudayaan dan Pertukaran Instrumen bagi Penubuhan Konsulat China Baharu di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang serta Konsulat Malaysia baharu di Nanning.
Kedua-dua pemimpin itu kemudian menyaksikan majlis menandatangani enam memorandum persefahaman (MoU) peringkat Kerajaan dengan Kerajaan. -Foto BERNAMA
Turut dimeterai hari ini ialah Minit-minit mengenai Memperkukuh Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan antara Kementerian Perdagangan China (Mofcom) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (Miti); MoU antara China Post Group dan Pos Malaysia serta MoU bagi menggalakkan kerjasama perindustrian antara agensi penggalakan pelaburan Kementerian Perdagangan China,
Perbadanan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia.
Perdana Menteri China itu kemudian meraikan delegasi Malaysia dalam satu jamuan malam.