DUNIA
Nama Trump disebut dalam fail Epstein, DOJ sahkan tiada siasatan lanjut

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memaklumkan, nama Presiden Donald Trump tersenarai dalam dokumen berkaitan siasatan kes Jeffrey Epstein, namun, tiada siasatan lanjut akan dijalankan terhadap beliau. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memaklumkan, nama Presiden Donald Trump tersenarai dalam dokumen berkaitan siasatan kes Jeffrey Epstein, namun, mengesahkan tiada siasatan lanjut akan dijalankan terhadap beliau atau mana-mana individu lain yang belum didakwa.
Perkara itu disampaikan kepada Trump dalam satu taklimat rutin di White House pada Mei lalu oleh Peguam Negara, Pam Bondi dan timbalannya, menurut beberapa pegawai kanan pentadbiran yang enggan dinamakan.
Menurut DOJ, dokumen berkaitan kes Epstein mengandungi nama ratusan tokoh terkenal, termasuk Trump, kebanyakannya atas kaitan sosial masa lalu dengan ahli perniagaan yang kini telah meninggal dunia itu.
“Ini bukan petunjuk kepada sebarang salah laku,” kata salah seorang pegawai.Bondi turut menjelaskan, DOJ tidak bercadang untuk mendedahkan lebih banyak kandungan fail berkenaan memandangkan sebahagiannya melibatkan bahan pornografi kanak-kanak serta maklumat sulit mangsa yang perlu dilindungi.
Dalam pertemuan itu, Trump dilaporkan menerima maklumat berkenaan tanpa sebarang bantahan dan menyerahkan sepenuhnya kepada DOJ untuk membuat keputusan lanjut.
Namun begitu, ketika ditanya media minggu lalu, Trump menafikan bahawa beliau telah dimaklumkan tentang kewujudan namanya dalam fail Epstein.
Pada 7 Julai lalu, DOJ mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi satu memo dalam talian yang menyatakan bahawa tiada senarai pelanggan Epstein ditemui dan tiada bukti baharu yang membolehkan siasatan diteruskan terhadap mana-mana pihak lain.
Dalam kenyataan bersama kepada Wall Street Journal, Bondi dan Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche berkata: “Sebagai sebahagian daripada taklimat rutin, kami telah memaklumkan Presiden mengenai penemuan tersebut dan tiada apa-apa dalam fail itu yang wajar disiasat atau didakwa.”
Sementara itu, DOJ merancang untuk menemubual Ghislaine Maxwell dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan maklumat tambahan berhubung kesalahan seksual melibatkan Epstein serta mana-mana individu yang berkaitan.
Maxwell kini menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas disabitkan bersalah membantu Epstein dalam kegiatan pemerdagangan seks melibatkan gadis bawah umur.
Jurucakap White House, Steven Cheung bagaimanapun menafikan laporan itu dan menyifatkannya sebagai satu lagi bentuk “berita palsu.”
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami