NASA sedang melakukan ujian komunikasi laser jarak jauh menerusi sistem Deep Space Optical Communication (DSOC).

Setakat ini ia berjaya menstrim video resolusi tinggi pada jarak 31 juta kilometer dari bumi.

Bagi memastikan sistem komunikasi laser ini sedia digunakan untuk misi-misi mereka di masa depan, NASA telah menguji sistem parabola hibrid yang boleh menerima isyarat komunikasi radio dan laser.

Parabola komunikasi Deep Space Station 13 milik NASA telah diubah suai dengan meletakkan tujuh cermin berbentuk heksagon sebagai penerima isyarat laser dari angkasa lepas.

Parabola selebar 34 meter inilah yang digunakan oleh NASA untuk mencatatkan dua rekod dunia komunikasi paling jauh dengan bumi sebelum ini.

Yang menjadikan Deep Space Station 13 unik ialah ia boleh melakukan komunikasi radio dan laser secara serentak tanpa sebarang gangguan.

Ini akan menjimatkan kos kepada NASA kerana hanya satu struktur parabola perlu dibina untuk satu tugas komunikasi.

Parabola komunikasi radio sedia ada pula boleh diubahsuai untuk menyokong komunikasi menggunakan laser.

DSOC dibangunkan kerana teknologi komunikasi isyarat radio yang digunakan sekarang adalah perlahan dan mempunyai jalur lebar – sekitar 5.2 Mbps – yang kecil untuk menyokong komunikasi lebih kompleks di masa hadapan.

Sistem DSOC membolehkan pemindahan data sehingga 100 kali ganda lebih pantas.

Sekiranya manusia ingin membina koloni di Marikh atau planet-planet lain, sistem komunikasi video resolusi tinggi dan penghantaran data yang besar kembali ke bumi amat diperlukan. -Amanz