DUNIA
Negara ASEAN mungkin dikenakan tarif lebih rendah - Rubio

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio di Bangunan Parlimen Malaysia, hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio mengesahkan negara-negara anggota ASEAN mungkin dikenakan tarif perdagangan lebih rendah berbanding rantau lain.
“Saya telah mendengar kebimbangan yang disuarakan menteri-menteri luar dari setiap pelosok dunia tentang tarif. Kesimpulannya, ia dilakukan untuk mengimbangi semula hubungan perdagangan kami.
“Negara berbeza akan dikenakan tarif berbeza, berdasarkan status hubungan perdagangan mereka dengan AS.
“Pada masa yang sama, mereka sentiasa ada peluang untuk berunding. Kita telah melihat hasil rundingan dengan Vietnam, juga dengan United Kingdom,” katanya.Sebelum ini, kedua-dua negara itu berjaya mempersetujui perjanjian perdagangan baharu bersama AS, yang menyaksikan tarif dikenakan terhadap mereka dikurangkan.
UK kini berdepan tarif berkadar sifar sehingga 10 peratus, manakala Vietnam berjaya menurunkan kadar tersebut kepada 20 peratus, daripada 46 peratus yang dikenakan sebelum ini.
“Kami sedang berdialog secara aktif dengan pelbagai negara yang bertumpu kepada mencapai kemajuan.
“Tetapi pasaran menuntut kepastian. Jadi kita perlu beritahu kepada semua bahawa kadar (tarif) dasar akan berkuat kuasa 1 Ogos ini.
“Tetapi perbincangan tetap diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membayangkan bahawa pihaknya telah bersetuju untuk melaksanakan Sidang Kemuncak ASEAN-AS yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei lalu.
Malah kata Rubio, ia mungkin dihadiri sendiri oleh Presiden AS, Donald Trump.
“Ya, ia mungkin berlaku. Kami sedang berusaha menentukan tarikh,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami