Skip to main content
Advertisement

Dunia

Netanyahu adakan lawatan ke Abu Dhabi, temui Presiden UAE

Israeli Prime Minister Benjamin Netanyahu holds up a pager as he addresses the 81st United Nations General Assembly (UNGA) at UN headquarters in New York City, US, September 24, 2026. REUTERS/Mike Segar
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kiri) mengadakan lawatan ke Abu Dhabi pada Ahad dan bertemu Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan. - Gambar Reuters
Advertisement

ABU DHABI: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengadakan lawatan ke Abu Dhabi pada Ahad dan bertemu Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, menurut seorang pegawai kanan Israel.

Bagaimanapun, tiada kenyataan segera dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri Israel mahupun Kementerian Luar UAE berhubung lawatan berkenaan.

Lawatan itu berlangsung ketika laporan akhbar Israel, Haaretz, awal bulan ini kembali mencetuskan perdebatan apabila mendakwa Sheikh Mohammed telah memberi amaran kepada Netanyahu kira-kira seminggu setengah sebelum serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 bahawa kumpulan itu sedang merancang operasi besar terhadap Israel.

Menurut laporan tersebut, maklumat itu didakwa tidak disalurkan kepada agensi perisikan atau pihak tentera Israel.

Netanyahu menafikan laporan berkenaan dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut.

Beliau yang kini berdepan kempen pemilihan semula yang mencabar turut menerima kritikan daripada pemimpin pembangkang yang mendakwa beliau bertanggungjawab atas kegagalan keselamatan sebelum serangan Hamas pada Oktober 2023.

UAE pula enggan mengulas dakwaan yang diterbitkan Haaretz, namun menegaskan, negara itu dan Israel terus mengekalkan saluran komunikasi yang terbuka dan langsung sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada tahun 2020.

Seorang sumber UAE sebelum ini memberitahu agensi berita antarabangsa, Reuters bahawa isu keselamatan dibincangkan melalui saluran serta agensi berkaitan, dan bukannya di peringkat pemimpin tertinggi negara.

Awal tahun ini, UAE turut menafikan laporan bahawa Sheikh Mohammed pernah bertemu Netanyahu selepas pejabat Perdana Menteri Israel mendakwa beliau melakukan lawatan secara rahsia ke negara Teluk itu pada Mei lalu.

Menurut sumber yang mengetahui mengenai pertemuan tersebut, Netanyahu dan Sheikh Mohammed dikatakan bertemu di Al Ain, sebuah bandar oasis di Emiriah Abu Dhabi yang terletak berhampiran sempadan Oman, pada 26 Mac.

Sejak berdepan ancaman keselamatan susulan konflik melibatkan Iran, UAE dilaporkan memperkukuh hubungannya dengan Amerika Syarikat dan Israel.

Hubungan dengan Israel, yang terjalin menerusi Perjanjian Abraham pada 2020, dilihat memberi UAE pengaruh yang lebih luas di rantau Asia Barat selain menyediakan saluran diplomatik penting ke Washington. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement