NEW YORK: New York akan mula menawarkan vaksin kepada pelancongnya.

Menurut Datuk Bandar Bill de Blasio, inisiatif itu akan dijalankan dengan penyediaan pusat vaksinasi bergerak di destinasi pelancongan utama seperti Times Square, Taman Brooklyn Bridge, Central Park dan The High Line.

“Musim panas ini, anda akan melihat pelancongan hidup kembali di bandar New York, anda akan melihat banyak pekerjaan kembali kerana itu.

"Kami ingin berusaha lebih baik, memudahkan pelancong sekiranya mereka berada di sini, mendapat vaksin semasa anda berada di sini.

“Adalah logik untuk meletakkan pusat vaksinasi bergerak di mana pelancong berada.

"Itu baik bagi kita semua kerana mereka mendapat vaksin dan ia baik untuk mereka,” katanya.

Jelas de Blasio, laman web tersebut dapat dibuka secepatnya pada hujung minggu ini, tetapi bandar itu masih menunggu persetujuan dari negeri itu.

Sebelum ini, Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dilaporkan berkata pelancong AS yang menerima suntikan vaksin COVID-19 dibenar mengunjungi negara Kesatuan Eropah (EU) dalam beberapa bulan akan datang.

Katanya, keputusan itu menandakan perubahan besar dalam dasar EU ketika program imunisasi dipergiatkan di seluruh dunia

Bagaimanapun, Ursula tidak memberikan tarikh tepat, tetapi dijangka peraturan baharu itu dapat dilaksanakan menjelang musim panas ini.