Skip to main content
Advertisement

Dunia

New York, New Jersey isytihar darurat susulan ancaman ribut nor'easter

Clouds roll in over the New York City skyline as a nor’easter is expected to bring heavy rain and winds in New York City, US, September 25, 2026. REUTERS/DAVID DEE DELGADO
Awan gelap menyelubungi latar langit New York ketika ribut nor'easter dijangka membawa hujan lebat dan angin kencang ke bandar raya itu di AS. - Foto REUTERS
Advertisement

NEW YORK: Negeri New York dan New Jersey mengisytiharkan darurat di beberapa kawasan yang dijangka menerima kesan paling buruk daripada ribut nor'easter yang diramal melanda Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) hujung minggu ini.

Menurut pihak berkuasa, ribut berkenaan dijangka membawa hujan lebat, angin kencang, banjir serta ombak dan arus kuat dari negeri Maine hingga Washington, D.C.

Gabenor New York, Kathy Hochul, menggesa penduduk mengambil serius ancaman cuaca tersebut, termasuk di New York City yang dijangka terjejas teruk.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan operasi penerbangan di tiga lapangan terbang utama sekitar New York berkemungkinan terganggu akibat angin kencang.

Beberapa syarikat penerbangan, termasuk American Airlines, JetBlue dan United Airlines, turut mengecualikan fi pertukaran penerbangan tertentu serta menggalakkan penumpang menangguhkan perjalanan antara Jumaat dan Ahad.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS berkata kelajuan angin boleh mencecah 88.5 kilometer sejam di sesetengah kawasan, sekali gus berpotensi menjejaskan pemanduan dan bekalan elektrik.

Pegawai New York City memberi amaran mengenai kemungkinan banjir di ruang bawah tanah bangunan, gangguan bekalan elektrik serta masalah pengangkutan awam.

Syarikat kereta api penumpang Amtrak turut memaklumkan perkhidmatannya di timur laut AS mungkin terjejas akibat cuaca buruk itu.

Beberapa acara besar terpaksa dibatalkan, termasuk Festival Global Citizen di Central Park, Manhattan serta konsert penyanyi Ed Sheeran berhampiran Boston yang dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung.

Selain itu, beberapa perlawanan sukan turut dijadual semula, termasuk perlawanan besbol antara Chicago Cubs dan Boston Red Sox di Boston.

Ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghampiri penghujungnya di New York, jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata organisasi itu bersedia menghadapi keadaan cuaca tersebut sambil meneruskan urusan yang dijadualkan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement