Skip to main content

Malaysia

Bahasa, sastera Melayu jangan hanya dimartabatkan secara bermusim - Sasterawan Negara

Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan (enam, kanan) bergambar bersama para pemenang Pertandingan Transliterasi Jawi ke Rumi Naskhah Melayu Lama Peringkat Media sempena Dekad Membaca Kebangsaan 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini.  - Foto BERNAMA
Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan (enam, kanan) bergambar bersama para pemenang Pertandingan Transliterasi Jawi ke Rumi Naskhah Melayu Lama Peringkat Media sempena Dekad Membaca Kebangsaan 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Usaha memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu perlu diteruskan secara berterusan melalui kerjasama strategik antara IPT, media massa dan pihak berkaitan.
  • Pertandingan Transliterasi Jawi ke Rumi dan Baca Naskhah Sulalatus Salatin dianjurkan untuk memperluas akses serta memperkukuh budaya membaca dan penguasaan bahasa Melayu.
  • Raja Nur Shazatul Aisyah Raja Idris dan Mohd Noor Atan muncul johan dalam pertandingan peringkat IPT dan media, masing-masing menerima wang tunai RM1,500.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Usaha memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu tidak boleh terhenti selepas berakhirnya sesuatu sambutan atau program, sebaliknya perlu terus digerakkan bagi memastikan warisan bangsa itu terus hidup dan diwarisi generasi akan datang.

Sasterawan Negara Datuk Anwar Ridhwan berkata usaha memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu, perlu diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi (IPT), media massa dan pihak berkaitan bagi memastikan khazanah ilmu serta karya klasik terus dimanfaatkan.

“Perjuangan memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu tidak boleh sesekali hidup pada musim sambutannya sahaja dan mati pada bulan berikutnya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah pertandingan bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan 2026, hari ini.

Advertisement

Anwar yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyarankan agar teks transliterasi naskhah Melayu lama didigitalkan dan diterbitkan, bagi memperluas akses kepada khazanah persuratan negara selain menjadi rujukan sarjana di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Hazami Jahari berkata penganjuran Pertandingan Transliterasi Jawi ke Rumi Naskhah Melayu Lama peringkat Media dan Pertandingan Baca Naskhah Sulalatus Salatin peringkat IPT, merupakan antara usaha menterjemahkan aspirasi Dekad Membaca Kebangsaan kepada program yang melibatkan penyertaan aktif masyarakat.

Advertisement

Beliau berkata pertandingan transliterasi itu bertujuan memperluas akses masyarakat terhadap khazanah ilmu dan kesusasteraan Melayu, manakala pertandingan membaca Sulalatus Salatin pula bagi memperkukuh budaya membaca serta penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa.

“Penganjuran kedua-dua pertandingan ini, membuktikan bahawa warisan bahasa dan kesusasteraan Melayu bukan sekadar artifak masa silam, sebaliknya merupakan korpus ilmu hidup yang terus relevan sebagai pasak jati diri dan pembinaan peradaban bangsa kita,” katanya.

Pada majlis itu, pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengurusan di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) Raja Nur Shazatul Aisyah Raja Idris, 26, muncul johan Pertandingan Baca Naskhah Sulalatus Salatin peringkat IPT.

Beliau yang pertama kali menyertai pertandingan membaca naskhah Melayu lama itu berkata kemenangan berkenaan di luar jangkaannya, lebih-lebih lagi dengan tempoh persediaan hanya dua hingga tiga hari.

“Pertandingan ini merupakan platform terbaik untuk menggalakkan golongan muda mendalami bahasa Melayu klasik, khususnya ketika penggunaan bahasa rojak dan bahasa ringkas semakin menjadi kebiasaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Bahagian Langganan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Noor Atan, muncul johan Pertandingan Transliterasi Jawi ke Rumi Naskhah Melayu Lama peringkat Media.

Dua lagi wakil Bernama, iaitu Penolong Pegawai Tadbir Modal Insan, Pentadbiran dan Fasiliti, Maznah Abu Bakar meraih tempat ketiga, manakala Pegawai Penyelidik Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Maslina Mahadi menerima hadiah saguhati.

Mohd Noor berkata minat membaca tulisan Jawi dipupuk sejak kecil menerusi akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman yang dilanggan oleh arwah bapanya.

“Pertandingan ini wajar dianjurkan secara berterusan, bagi menggalakkan penggunaan dan pembacaan tulisan Jawi, selain membuka peluang kepada masyarakat untuk mengenali semula kosa kata Melayu lama,” katanya.

Kedua-dua johan pertandingan masing-masing menerima wang tunai RM1,500, sijil penyertaan serta buku terbitan DBP.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement