Singapura, Padang
Kawasan lapang bersejarah tempat perarakan kemerdekaan pertama di Singapura yang dikenali sebagai Padang.

SINGAPURA: Sebuah pertubuhan sukarelawan kebajikan di republik ini membatalkan perhimpunan kekeluargaan yang kebetulan dirancang diadakan serentak dengan satu perhimpunan hak asasi hubungan sejenis pada akhir Jun ini selepas ia tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk menggunakan Padang.

Padang adalah kawasan lapang bersejarah tempat perarakan kemerdekaan pertama diadakan pada 1966 dan terletak berdekatan dengan bangunan Parlimen dan mahkamah, sama seperti Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.

Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar menolak permohonan Touch Family Services untuk mengadakan perhimpunan yang diberi nama Red Dot Family Moment itu pada bulan bulan lalu dan badan itu pada Selasa mengumumkan ia tidak mencari lokasi baru.

Sekiranya perhimpunan di Padang itu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa, ia akan berlangsung pada hari yang sama dengan perhimpunan tahunan Pink Dot bagi menyokong hak kelompok LGBT dan menggunakan warna tema merah jambu.

Touch Family Services bagaimanapun menolak dakwaan perhimpunan yang ia rancang sengaja diatur serentak dengan Pink Dot, lapor akhbar Today.

Menurut Wong, tarikh itu kebetulan kerana ia merupakan Sabtu terakhir dalam cuti sekolah dan juga merupakan hujung minggu sempena acara tahunan sambutan keluarga kebangsaan.

"Oleh kerana kami percaya keluarga adalah asas masyarakat, acara ini dirancang sebagai sambutan SG50 (ulang tahun ke-50 Singapura) untuk merayakan sumbangan keluarga kepada pembinaan bangsa," katanya.

Touch Family Services yang merupakan anggota gabungan Touch Community Services diasaskan oleh Faith Community Baptist Church.

Sementara itu, akhbar Today melaporkan Kementerian Sosial dan Pembangunan Keluarga menjelaskan Padang tidak sesuai untuk acara tersebut dan mencadangkan lokasi lain kepada Touch Family Services tetapi badan sukarelawan itu menolak.

Dalam pada itu, jurucakap polis memaklumkan pihaknya menerima permohonan permit daripada Touch Family Services tetapi permohonan itu kemudian ditarik balik pada Isnin.

Pengurus besar Touch Family Services, Edward Wong memberitahu Today perhimpunan itu dirancang diadakan di Padang kerana kemudahan pengangkutan awam dan kemudahan lain yang ada di pusat membeli belah di sekitarnya.

Jelas beliau, warna tema merah yang dipilih diilhamkan daripada warna kebangsaan Singapura dan slogan sambutan ulang tahun ke-50 republik itu, Celebrating The Little Red Dot tahun depan. Sambutan SG50 itu dilancarkan pada 24 Januari lepas.

Perhimpunan yang dirancang di Padang itu berbeza dengan acara tahunan Touch Family Festival yang meliputi syarahan dan seminar yang diadakan di pusat bandar pada setiap akhir Mei sejak dua tahun lalu.