ISTANBUL: Perhimpunan Kebangsaan Nicaragua pada Sabtu meluluskan pindaan Perlembagaan yang melarang undang-undang, peraturan atau peruntukan asing daripada berkuat kuasa di negara itu sekiranya dianggap menjejaskan kedaulatan, kemerdekaan, hak menentukan nasib sendiri, keselamatan atau keamanan Nicaragua, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan.
“Kita perlu menjelaskan tanpa sebarang keraguan bahawa tiada undang-undang dari mana-mana negara asing, walau sekuat mana pun negara itu, mempunyai kesan undang-undang di Nicaragua,” kata Presiden Perhimpunan Kebangsaan Gustavo Porras, menurut media tempatan.
Pindaan yang dikemukakan Presiden Daniel Ortega dan Naib Presiden Rosario Murillo itu menambah satu perenggan baharu pada Perkara 12 Perlembagaan.
Peruntukan itu melarang undang-undang dan peraturan yang dikeluarkan oleh negara asing, kumpulan negara atau pertubuhan antarabangsa daripada digunakan di Nicaragua secara luar wilayah.
Ia turut menetapkan bahawa hanya perjanjian yang ditandatangani bagi pihak negara Nicaragua boleh berkuat kuasa di negara itu.
Pindaan berkenaan diluluskan dalam satu sidang khas sempena ulang tahun ke-48 operasi “Death to Somocismo, Commander Carlos Fonseca Amador”.
Langkah itu dibuat ketika Nicaragua berdepan penelitian semakin ketat daripada Pertubuhan Negara-Negara Amerika (OAS), yang dianggotai 35 negara.
Majlis Tetap OAS pada Rabu meluluskan resolusi menggesa mesyuarat segera menteri luar bagi membincangkan keadaan di Nicaragua dan kemungkinan tindakan yang boleh diambil.
Resolusi itu diluluskan dengan 29 undi menyokong dan satu menentang, manakala satu anggota berkecuali dan dua lagi tidak hadir.
Menurut resolusi itu, perkembangan di Nicaragua merupakan “masalah mendesak dan berkepentingan bersama bagi negara-negara Amerika”.
Ia turut menyatakan bahawa demokrasi berperwakilan, yang dianggap penting untuk kestabilan, keamanan dan pembangunan rantau, “tidak lagi wujud di Nicaragua”.
Resolusi itu menggesa mesyuarat berkenaan diadakan di ibu pejabat OAS “secepat mungkin” berdasarkan Perkara 61, 62 dan 63 Piagam OAS, yang membolehkan mesyuarat menteri luar diadakan bagi membincangkan isu mendesak berkepentingan bersama.
Nicaragua secara rasmi keluar daripada OAS pada November 2023 selepas memaklumkan hasrat meninggalkan pertubuhan itu pada 2021.
-- BERNAMA-ANADOLU