WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengeluarkan amaran terbaharu terhadap Iran dengan memuat naik imej yang dijana kecerdasan buatan (AI) memaparkan beliau memegang senjata, bersama slogan “No more Mr Nice Guy!”
Dalam hantaran di platform Truth Social awal pagi Rabu, Trump menyelar kegagalan Tehran mencapai persetujuan dalam rundingan damai yang kini buntu, sambil menegaskan isu nuklear tidak boleh diketepikan.
Advertisement
“Iran tidak boleh menguruskan urusan mereka sendiri. Mereka tidak tahu bagaimana untuk menandatangani perjanjian bukan nuklear. Mereka perlu menjadi bijak dengan segera!” katanya.
Imej berkenaan menunjukkan Trump memakai sut gelap dan cermin mata hitam dengan latar belakang letupan, yang dikenal pasti sebagai bahan visual dijana AI.
Amaran itu muncul ketika rundingan gencatan senjata yang dijadualkan berlangsung di Islamabad, Pakistan dilaporkan menemui jalan buntu selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai syarat utama keamanan.
Ketegangan antara Washington dan Tehran meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap sasaran ketenteraan Iran pada hujung Februari lalu.
Konflik berlarutan itu turut menjejaskan laluan tenaga global apabila Selat Hormuz ditutup, mendorong harga minyak dunia melonjak sehingga mencecah AS$115 (kira-kira RM455) setong.
Pentadbiran Trump sebelum ini dilaporkan mempertimbangkan peluasan sekatan maritim terhadap pelabuhan Iran bagi meningkatkan tekanan ke atas Tehran.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menegaskan sebarang perjanjian hanya boleh dimeterai sekiranya Iran tidak lagi mempunyai keupayaan membangunkan senjata nuklear pada masa hadapan.