Skip to main content

Dunia

OIC kecam rang undang-undang Israel yang mahu haramkan azan

41552621215_OIC.jpg
OIC turut menggesa masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan langkah dan dasar Israel yang menyalahi undang-undang serta membatalkan cadangan rang undang-undang itu dan undang-undang diskriminasi lain.
Advertisement

JEDDAH: Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam kelulusan awal oleh Knesset Israel terhadap rang undang-undang yang bertujuan mengharamkan laungan azan, yang dikenali sebagai "Undang-Undang Muazin", lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

OIC menyifatkan cadangan rang undang-undang itu sebagai tidak sah dan terbatal, sambil menyatakan bahawa ia merupakan langkah perundangan yang bersifat diskriminasi dan perkauman serta satu pelanggaran terang-terangan terhadap kebebasan beragama dan beribadat, selain hak budaya dan agama yang dijamin di bawah undang-undang antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Menurut OIC, rang undang-undang itu menandakan peningkatan berbahaya dalam siri undang-undang, keputusan dan dasar Israel yang menyasarkan kewujudan rakyat Palestin serta identiti Arab dan Islam. Ia juga disifatkan sebagai serangan secara langsung terhadap syiar Islam dan tempat suci umat Islam.

Pertubuhan itu menegaskan yang sekatan terhadap laungan azan melanggar kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat serta instrumen antarabangsa lain yang melindungi hak untuk mengamalkan upacara keagamaan secara bebas tanpa diskriminasi atau sekatan.

OIC turut menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agensi khususnya serta semua pihak antarabangsa yang berkaitan agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan langkah dan dasar Israel yang menyalahi undang-undang serta membatalkan cadangan rang undang-undang itu dan undang-undang diskriminasi lain.

Tindakan itu, menurut OIC, penting bagi memastikan kebebasan beribadat dihormati, melindungi tempat suci Islam, serta memastikan Israel sebagai kuasa pendudukan dipertanggungjawab atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip legitimasi antarabangsa.

-- BERNAMA-WAFA

 

 

Must Watch Video

Advertisement