Skip to main content
Advertisement

Dunia

OIC tegaskan petempatan Israel di wilayah Palestin diduduki tidak sah

51553589396_wilayahbukitGolan.jpg
Tindakan itu satu pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. - Gambar fail
Advertisement

JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam pembinaan dan peluasan petempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, sambil menegaskan bahawa tindakan itu tidak mempunyai asas undang-undang dan merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

OIC berkata Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), menerusi pendapat nasihat yang dikeluarkan pada 2004 dan 2024, mengesahkan bahawa petempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah tidak sah, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA). 

Dalam pendapatnya pada 2024, ICJ menjelaskan bahawa Israel mesti segera menghentikan semua aktiviti petempatan baharu, memindahkan semua pendatang haram dan menghentikan kehadirannya yang tidak sah di wilayah Palestin yang diduduki secepat mungkin.

Resolusi 2334 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2016 turut menegaskan bahawa pembinaan petempatan berkenaan merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.

OIC turut menggesa negara-negara supaya tidak mengiktiraf keadaan tidak sah hasil daripada kehadiran Israel di wilayah Palestin yang diduduki, tidak memberikan bantuan atau sokongan yang boleh mengekalkan keadaan itu serta mengambil langkah perlu bagi memastikan syarikat di bawah bidang kuasa masing-masing tidak menyumbang kepada atau meraih manfaat daripada aktiviti penjajahan.

Pertubuhan itu turut menggesa PBB dan mekanisme hak asasi manusianya supaya terus berusaha memastikan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa serta kebertanggungjawaban terhadap sebarang pelanggaran.

OIC turut menegaskan semula sokongan tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri serta menubuhkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

-- BERNAMA-WAFA

Must Watch Video

Advertisement