VIENTIANE: Pasukan penyelamat secara rasmi menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan dua lagi penduduk tempatan yang masih hilang dalam sebuah gua separa tenggelam di wilayah Xaysomboun, tengah Laos, hari ini.
Keputusan itu diambil selepas operasi memasuki hari ke-18 susulan keadaan struktur pintu masuk gua yang dilaporkan semakin tidak stabil, selain peluang untuk menemui mangsa dalam keadaan selamat semakin tipis.
Pakar penyelam gua dari Malaysia, Lee Kian Lie, berkata operasi berkenaan telah sampai ke penghujungnya kerana risiko kepada pasukan penyelamat kini jauh lebih tinggi berbanding kemungkinan menyelamatkan mangsa.
Tragedi itu bermula pada 20 Mei apabila tujuh penduduk kampung terperangkap di dalam gua di daerah Long Chaeng akibat banjir kilat ketika mereka memburu kelawar dan mencari emas di kawasan bekas lombong.
Operasi SAR rentas sempadan sebelum ini berjaya menyelamatkan lima mangsa dalam keadaan hidup, dengan seorang dikeluarkan pada 29 Mei manakala empat lagi dipandu keluar keesokan harinya selepas paras air berjaya diturunkan.
Ketua penyelamat dari Thailand, Kengkad Bongkawong, berkata bermula hari ini, tiada sesiapa lagi dibenarkan masuk ke dalam gua atas faktor keselamatan, namun operasi mengepam air di luar masih diteruskan.
Menurut beliau, hujan lebat yang berterusan turut menyebabkan ruang menegak di dalam gua mengecil kepada kira-kira 30 sentimeter, sekali gus menghalang pergerakan selamat pasukan penyelamat.
Pihak berkuasa memaklumkan beberapa bekalan makanan dan keperluan asas telah ditempatkan di lokasi tertentu dalam gua sebelum ini sebagai langkah ikhtiar sekiranya mangsa masih mampu bertahan.