Skip to main content

Dunia

Operasi sulit di Ankara: Kabinet AS jadi umpan demi lindungi Trump

FILE PHOTO: A catering truck is parked on the other side of Air Force One, before U.S. President Donald Trump's departure from Ankara en route to Washington after his participation in the NATO leaders' summit, at Ankara Esenboga Airport in Ankara, Turkey, July 8, 2026. REUTERS/ABC-TV/Pool/File Photo
Sebuah trak katering diletakkan berhampiran Air Force One sebelum Presiden AS, Donald Trump berlepas dari Ankara ke Washington selepas menghadiri sidang kemuncak NATO di Ankara, Turki, pada 8 Julai 2026. - Gambar Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Dua anggota Kabinet Presiden Amerika Syarikat (AS)dilaporkan kekal berada dalam sebuah 'pesawat umpan' selepas Donald Trump secara rahsia meninggalkan pesawat itu untuk menaiki penerbangan lain ketika lawatannya ke Turkiye bulan lalu.

Setiausaha Negara, Marco Rubio dan Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent dilaporkan terus berada dalam pesawat yang dipercayai sebagai Air Force One, manakala Trump dipindahkan ke pesawat lain berikutan kebimbangan keselamatan yang dikaitkan dengan ancaman terhadap dirinya.

Pada 8 Julai lalu, Trump menaiki Air Force One bersama kedua-dua pegawai kanan itu serta sekumpulan wartawan yang mengikuti lawatan rasmi beliau.

Namun, dalam satu operasi yang dirancang rapi, beliau dipercayai dipindahkan secara sulit menggunakan sebuah trak katering sebelum menaiki sebuah pesawat tentera yang berasingan.

Walaupun gelaran "Air Force One" lazimnya digunakan bagi mana-mana pesawat yang membawa Presiden AS, pesawat asal itu terus menggunakan identiti tersebut sepanjang penerbangan berkenaan dan berfungsi sebagai umpan bagi mengelirukan pihak yang mungkin cuba menjejaki pergerakan Trump.

Menurut laporan media AS, Rubio dan Bessent kekal berada dalam pesawat berkenaan bagi memastikan kesinambungan rantaian penggantian kuasa negara sekiranya berlaku sebarang insiden yang menjejaskan presiden.

Dalam susunan penggantian kuasa AS, Naib Presiden JD Vance merupakan individu pertama yang akan mengambil alih jawatan Presiden sekiranya penyandang tidak lagi dapat menjalankan tugas. 

Kedudukan itu diikuti Speaker Dewan Perwakilan dan Presiden Pro Tempore Senat, sebelum giliran Setiausaha Negara dan Setiausaha Perbendaharaan.

Turut berada dalam pesawat yang digunakan untuk mengalih perhatian itu ialah Timbalan Ketua Staf White House, Stephen Miller dan Pengarah Komunikasi White House, Steven Cheung.

Sementara itu, pesawat kedua yang membawa Trump keluar dari Ankara dilaporkan turut dinaiki Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth bersama beberapa pembantu kanan yang sering mengiringi Presiden dalam lawatan rasmi.

Ketika ditanya mengenai operasi tersebut, Trump berkata, keputusan untuk menggunakan helah keselamatan itu dibuat oleh pihak tentera AS dan Perkhidmatan Rahsia AS (Secret Service).

Menurut beliau, kedua-dua agensi berkenaan mahu beliau menggunakan penerbangan yang berbeza atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, Trump tidak mendedahkan secara terperinci ancaman yang mendorong pelaksanaan operasi berkenaan, selain menyatakan bahawa beliau sering menjadi sasaran pelbagai ancaman keselamatan.

Operasi seumpama itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam prosedur keselamatan Presiden AS. 

Pelbagai taktik memperdaya sering digunakan bagi mengelakkan pergerakan presiden dikesan, termasuk pertukaran kedudukan limosin berperisai dalam konvoi dan penggunaan beberapa helikopter pengiring yang mempunyai penampilan serupa.

Bagi lawatan berisiko tinggi ke luar negara, langkah keselamatan yang lebih kompleks turut dilaksanakan. 

Namun, dalam kebanyakan keadaan, wakil media yang mengikuti perjalanan Presiden biasanya diberi taklimat awal dan diminta tidak melaporkan pergerakan beliau secara masa nyata atas pertimbangan keselamatan.

Dalam kes lawatan ke Ankara ini, wartawan yang berada dalam pesawat umpan dilaporkan tidak mengetahui bahawa Trump sebenarnya sudah dipindahkan ke pesawat lain.

Sehingga kini, masih belum jelas sama ada penumpang lain dalam pesawat yang membawa Rubio, Bessent, kakitangan Rumah Putih dan kumpulan media berdepan sebarang risiko keselamatan sepanjang operasi tersebut.

 

Must Watch Video

Advertisement